Stoking Kalimah Allah: Kerajaan Selangor Panggil Pengurusan Kk Mart
SHAH ALAM, 22 Mac (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan memanggil pengurusan kedai serbaneka KK Super Mart, berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah dirangkaian kedai itu, baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihak KK Mart perlu membuat penjelasan terperinci kepada kerajaan negeri, terhadap insiden yang mengguris hati umat Islam itu.
Beliau berkata pengurusan kedai serbaneka itu perlu bertanggungjawab dan ikhlas dengan permohonan maaf yang telah dibuat.
“Kita akan memanggil pengurusan KK Mart bagi mendengar penjelasan lanjut berhubung isu tersebut.
“Mereka kena bertanggungjawab dengan isu itu dan pastikan tiada lagi barang-barang yang mengganggu dan melukakan hati umat Islam,” katanya selepas Program Mahabbah Ramadan MADANI bersama penjawat awam Selangor di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan melaksanakan pemeriksaan lanjutan ke atas premis jualan barangan runcit dan serbaneka lain, bagi memastikan tiada lagi penjualan stoking tertera kalimah Allah itu di pasaran di Selangor.
Beliau berkata pemeriksaan menyeluruh melibatkan kerjasama antara Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri Datuk Rizam Ismail itu, dilaksanakan susulan terdapat laporan stoking tersebut turut ditemui di Johor.
“Saya sudah berbincang dengan Mohammad Fahmi berkenaan isu ini, di mana kita juga akan tambah anggota penguat kuasa di bawah Datuk Rizam untuk kita buat pemeriksaan di premis-premis jualan berkaitan termasuk KK Mart.
“Kita mahu pastikan tiada lagi penjualan stoking ini di pasaran dan jika ada, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Amirudin juga mengingatkan semua pihak agar menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum serta agama dengan kerajaan tidak akan berkompromi dalam melaksanakan undang-undang demi keharmonian negeri.
-- BERNAMA