Kerajaan Perincikan Kampus Ipta Lama Untuk Dibaik Pulih
ARAU, 23 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang membuat perincian terhadap kampus institut pendidikan tinggi awam (IPTA) di seluruh negara yang sudah lama usianya untuk pelaksanaan kerja-kerja menyelenggara dan membaik pulih.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ini kerana dalam sesi lawatan beliau ke kampus universiti tertentu serta politeknik mendapati ia perlu dibaik pulih dan diselenggara sebaik mungkin.
"Saya tak ada jumlah (spesifik kampus yang perlu diselenggara dan dibaik pulih setakat ini) sebab ia masih dalam proses perincian. Tetapi kawasan yang saya lawatani, saya dapati ada (yang perlu diselenggara dan dibaik pulih).
"Tadi sebagai contoh, saya pergi ke Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (di Arau), saya lihat perlu sedikit sebanyak baik pulih kerana ia sudah berusia lebih 20 tahun, umpamanya cat dan beberapa benda kita akan ambil tindakan segera," katanya kepada pemberita pada Majlis Semarak Ramadan KPT@UniMAP di sini hari ini.
Bersempena majlis berkenaan itu, Zambry turut meluncurkan secara rasmi inisiatif Kad MySiswa yang dulunya dikenali sebagai Kad Prihatin Siswa.
Mengenai Kad MySiswa itu, beliau berkata hampir 550,000 pelajar universiti awam di seluruh negara mendapat manfaat penggunaan kad itu sejak dilaksanakan Mac tahun lepas.
Menurutnya peluncuran kad itu turut menepati matlamat KPT untuk memperkasakan dan memartabatkan pelajar universiti menerusi transformasi kad matrik sedia ada menjadi sekeping kad pintar pelbagai fungsi.
"Antara kelebihan kad ini ia boleh menjadi kad debit bank, kad akses kepada kemudahan dan fungsi dalaman kampus yang bersepadu seperti sistem kehadiran, sistem perpustakaan malah ia turut dilengkapi dengan kemudahan e-dompet.
"Selain itu, Kad MySiswa akan berfungsi sebagai kad promosi dan diskaun yang melayakkan pemegangnya menikmati pelbagai tawaran istimewa, potongan harga serta rebat sama ada di dalam mahu pun di luar kampus," katanya.
Kenyataan media daripada KPT sempena majlis itu memaklumkan Kad MySiswa merupakan inisiatif bersepadu KPT bersama RHB Islamic Bank Berhad selaku rakan strategik pelaksana.
Ia sebagai komitmen dalam mendukung Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang turut berpotensi memartabatkan gaya hidup mereka.
-- BERNAMA