Bsn, Payhunter Ubah 24 Bazar Ramadan Kepada Tanpa Tunai

24/03/2024 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) bekerjasama dengan Tech Hunter Global Sdn Bhd (PayHunter) untuk memperkenalkan DuitNow QR Soundbox BSN, terminal pembayaran digital yang memudahkan transaksi tanpa tunai kepada 24 vendor bazar Ramadan terpilih di Kuala Lumpur.

Inisiatif ini sejajar dengan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) kerajaan, bertujuan untuk meningkatkan penyelesaian digital kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menurut BSN dan PayHunter dalam kenyataan bersama.

“BSN dan PayHunter juga bekerjasama untuk menawarkan vendor bazar Ramadan baharu dan sedia ada peluang menjadi peniaga BSNeBiz, termasuk sebagai bonus, vendor akan menerima BSN DuitNow QR Soundbox secara percuma,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif BSN Jay Khairil Jeremy berkata perkongsian itu menekankan komitmen tidak berbelah bahagi bank untuk meningkatkan produktiviti dan menggalakkan pengembangan perniagaan dalam kalangan PMKS melalui transformasi digital.

“Pengenalan terminal Soundbox merupakan ciri yang mudah untuk memudahkan lagi proses pembayaran.

“Sebagai institusi kewangan yang diberi mandat, BSN komited untuk memperkasakan PMKS melalui geran digital PMKS Madani, memastikan kejayaan mereka selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif,” katanya.

Berdasarkan versi asal, Dinamik QR Soundbox yang dinaik taraf oleh BSN dan PayHunter dijangka dilancarkan pada suku tahun seterusnya, menawarkan ciri baharu apabila peniaga boleh memasukkan harga produk secara terus ke dalam peranti yang menghasilkan kod QR setiap kali.

Kemajuan ini menyelaraskan proses pembayaran, membolehkan pelanggan mengimbas kod QR dengan mudah atau menggunakan kad bagi pembayaran tanpa kerumitan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PayHunter Jenson Wong berkata syarikat telah mengambil inisiatif untuk menawarkan vendor, kaedah yang lebih selamat dan pantas bagi menerima pembayaran berikutan peningkatan minat rakyat Malaysia dalam transaksi tanpa tunai.

“Kami ingin melahirkan penghargaan kepada penaja kami, BSN, yang telah membolehkan pengenalan Dynamic QR Soundbox dengan penerimaan kad serta DuitNow QR Soundbox BSN sehingga dapat dilaksanakan dan dijangka mampu memberikan kelegaan kepada vendor semasa menjual produk mereka,” katanya.

-- BERNAMA