Peniaga Sebabkan Keracunan Makanan Berdepan Denda, Pembatalan Lesen - Exco johor
KULAI, 25 Mac (Bernama) -- Peniaga bazar Ramadan di Johor yang didapati tidak mengutamakan aspek kebersihan sehingga menyebabkan keracunan makanan kepada pembeli berdepan tindakan denda atau pembatalan lesen.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengendalikan sebarang aduan berhubung perkara itu.
“KKM ada pemeriksaan rutin di bazar Ramadan sama ada peniaga memenuhi spesifikasi ditetapkan kementerian itu. Sekiranya ada aduan, tindakan juga boleh diambil PBT sama ada denda atau pembatalan lesen penjaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tiga kes keracunan makanan dipercayai akibat makanan yang telah basi dijual peniaga bazar Ramadan di Johor baru-baru ini.
Sementara itu Mohd Jafni berkata beliau menjangka penurunan pembuangan sampah tiga peratus pada Ramadan tahun ini berdasarkan kesan positif pelaksanaan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran dan MySave Food@Ramadan yang dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di 35 bazar sejak 17 Mac lepas.
Beliau berkata program itu berjaya menyelamatkan 1,339.95 kilogram (kg) makanan dan minuman daripada dilupuskan.
Menurutnya lebih 51,600 tan sisa dilupuskan di tujuh tapak pelupusan di Johor sepanjang Ramadan tahun lepas iaitu penurunan 3.28 peratus berbanding lebih 53,300 tan pada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA