Bazar Koperasi Bernama Bantu Usahawan Kecil Guna Platform Digital

25/03/2024 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Bazar Ihya Ramadan 2024 anjuran Koperasi Bernama Berhad membuka peluang kepada usahawan kecil mempromosi produk mereka melalui platform digital media sosial dalam usaha memperluaskan lagi pemasaran dan jualan.

Ahli Lembaga Koperasi Biro Pembangunan Komersial Koperasi Bernama Berhad Mahayuddin Mohamad berkata promosi melalui platform digital di Facebook rasmi Koperasi Bernama itu lebih berimpak dengan memasukkan video pendek peniaga kecil yang menyertai jualan di bazar kali ini.

“Kami cuba mencari peluang untuk pengiklanan digital, oleh itu kami tampil dengan video pendek yang mereka (peniaga) boleh promosikan produk mereka dan terus berada dalam Facebook Koperasi Bernama kerana ia tiada tamat tempoh,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata Bazar Ihya Ramadan 2024 itu merupakan kali kedua diadakan dan sambutan daripada peniaga amat menggalakkan. 

Antara produk yang dijual pada  bazar kali ini seperti aneka roti dan pastri, beriani kambing, lauk-pauk berbuka puasa, terapi dan produk herba moringa, wangian dari Dubai serta aneka biskut raya.

Seorang peniaga yang menyertai  Bazar Ihya Ramadan 2024 , Noridah Ahmad, 69, berkata dia membawa produk keluaran Koperasi Tautan Kasih Cemara Berhad iaitu minuman pracampuran Coklat Malt Rossele dengan tawaran harga promosi.

“Sebelum ini kami jual produk ini pada harga RM 22, tetapi istimewa buat warga Bernama hari ini kami jual pada harga RM18,” katanya. 

Peniaga biskut raya Hafiz Amir, 37, berkata dia menampilkan lima jenis biskut raya yang dibuat sendiri oleh isterinya. 

“Antara biskut yang kami bawa hari ini adalah ‘almond London’, tat ‘cadburry’, tat nanas, ‘mazola’ dan biskut ‘peanut butter’.  Kami juga ada menjual bomboloni dan donut pelbagai perasa,” katanya. 

-- BERNAMA