Ksrelief Arab Saudi Agih 25 Tan Kurma Di Malaysia Sempena Ramadan 1445h

26/03/2024 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur melalui Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) Arab Saudi pada Isnin melancarkan program agihan kurma sebanyak 25 tan untuk Malaysia.

Duta Arab Saudi ke Malaysia Messad Ibrahim Al-Sulaim berkata program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram itu meneruskan tradisinya sempena Ramadan 1445H dengan membuat agihan buah kurma bukan sahaja di beberapa negara Islam, bahkan di negara minoriti Muslim di seluruh pelusuk dunia.

“Sejak tahun 2000, lebih 84 ribu tan kurma diagihkan di 72 negara. Malaysia pada tahun ini sekali lagi menerima agihan 25 ribu tan kurma sepertimana tahun lepas.

“Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram ini membuktikan aspek kemanusiaan dan kebudayaan kerajaan Arab Saudi (KSA) yang mendalam, sekali gus merapatkan hubungan dengan negara-negara yang menjadi rakan kongsi strategik KSA melalui bantuan yang dihulurkan KSrelief,” katanya pada majlis pelancaran program berkenaan di ibu negara.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff, duta-duta negara Arab dan para diplomat asing.

Di samping agihan kurma, program naungan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman Al-Saud itu turut mengagihkan mushaf al-Quran berserta terjemahan dalam bahasa Melayu.

Mohd Na’im dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi dan Raja Salman yang sentiasa mengambil berat kebajikan umat Islam di Malaysia sejak sekian lama.

-- BERNAMA