Jualan Agro Madani Catat Nilai Jualan Rm33.5 Juta Di Seluruh Negara
KANGAR, 27 Mac (Bernama) -- Jualan Agro MADANI merekodkan nilai jualan sebanyak RM33.5 juta melibatkan 1,617 penganjuran di seluruh negara sehingga semalam.
Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Dr Mohamad Sofee Razak berkata 852,000 pengguna mendapat manfaat daripada jualan itu setakat ini dengan penjimatan sebanyak RM10 juta.
"Sebanyak 20,700 usahawan yang terlibat dalam Jualan Agro MADANI di seluruh Malaysia bagi tempoh sehingga semalam itu," katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan FAMA 1445H di Masjid Nurul Iman, Kurong Batang di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan dan Imam Besar Negeri Perlis Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.
Dalam pada itu, Mohamad Sofee berkata lebih 500 asnaf terpilih di Perlis menerima manfaat bantuan berupa barangan keperluan menerusi program bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu.
"Program Sentuhan Kasih ini bertujuan bagi mengimarahkan sambutan bulan Ramadan yang mulia ini dan menggalakkan usahawan FAMA berkongsi rezeki dalam khidmat sosial dengan kerjasama MAIPs untuk pelaksanaan di masjid-masjid terpilih di Perlis," katanya.
-- BERNAMA