Bernama, columbia Asia Rai Anak Yatim Asnaf Baitun Nurrawdhah

27/03/2024 10:25 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Seramai 20 anak yatim dan asnaf Baitun Nurrawdhah hari ini diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Columbia Asia Setapak dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata program bersama Columbia Asia itu, merupakan yang kedua dilaksanakan bersama Bernama.

“Sebelum ini kami berkerjasama untuk sambutan Deepavali tahun lepas dan saya melihat jalinan kerjasama ini sangat baik, kerana kita bersama-sama membawa matlamat yang serupa iaitu menyantuni anak-anak yang kurang berkemampuan ini dan membawa keceriaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan bersama anak yatim dan asnaf Baitun Nurrawdhah di sini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.

Pada majlis itu, anak yatim dan asnaf berkenaan diberikan sumbangan cenderamata, baju raya dan duit raya.

Pengurus Besar Wilayah 1 Columbia Asia Engku Marina Engku Hatim ketika ditemui berkata beliau berharap sumbangan yang disampaikan kepada anak yatim dan asnaf berumur antara empat hingga 17 tahun itu, dapat menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Sumbangan yang kita bagi ini ialah baju raya dan duit raya, supaya mereka dapat bersama-sama menyambut Hari Raya dengan meriahnya,” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai perancangan Columbia Asia, Engku Marina berkata sebuah hospital baharu akan dibina di Batu Kawan, Pulau Pinang tahun hadapan.

“Pengembangan lain ialah di Hospital Columbia Asia di Cheras dan Klang, kami tambah 100 katil lagi. Untuk tahun ini kami telahpun mengambil alih Kumpulan Ramsay, kita tambah lagi empat hospital di Malaysia dan tiga lagi di Indonesia,” katanya.

Empat buah hospital di Malaysia ialah Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan Bukit Tinggi, Pusat Perubatan Ara Damansara dan Pusat Perubatan Park City.

-- BERNAMA