Kes Pedofilia: Polis Kelantan Panggil Pelajar Dan Guru
KOTA BHARU, 31 Mac (Bernama) -- Polis memanggil beberapa saksi termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan seorang pengajar melakukan aktiviti pedofilia.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata polis ada menerima laporan dibuat oleh pelajar yang merupakan mangsa dalam kes terbabit.
“Polis telah melihat segala kandungan di dalam telefon pihak yang terlibat seperti perbualan telefon dan aplikasi WhatsApp dan merasakan ada keperluan untuk siasatan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
"Polis akan melihat apakah kebenaran dalam apa yang dinyatakan supaya siasatan secara adil dan telus dapat dijalankan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Ramadan Perdana sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata masyarakat diminta tidak membuat spekulasi memandangkan siasatan masih berjalan.
“Kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh terus hadir ke balai polis bagi memberikan kerjasama dan sekiranya mereka enggan mendedahkan identiti boleh hubungi polis,” katanya yang enggan mendedahkan identiti pihak terlibat.
Pada 28 Mac lepas, seorang individu menerusi media sosial mendakwa seorang guru di sebuah sekolah di Tumpat yang diketahui sebagai seorang pedofil masih mengajar di sekolah berkenaan.
-- BERNAMA