Institusi Kerajaan Guna Beras Import, Bantu Rakyat Dapat Bekalan Tempatan - Anwar

01/04/2024 10:24 PM

PADANG BESAR, 1 April (Bernama) -- Kerajaan memutuskan supaya institusi kerajaan seperti hospital, asrama sekolah, kem tentera dan polis menggunakan beras putih import bermula hari ini, dalam usaha memudahkan rakyat mendapatkan bekalan beras tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat boleh menikmati beras tempatan sekiranya institusi berkenaan tidak bergantung sepenuhnya kepada bekalan beras putih tempatan dengan menggunakan beras import.

“Saya beritahu Ketua Setiausaha (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) cari jalan bagi memastikan kilang yang ada beras tempatan hantar sekurang-kurangnya kepada FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan pejabat LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) supaya sampai kepada rakyat, tetapi apakah cukup beras tempatan, tak cukup sebab pengeluarannya terbatas.

“Bagaimana nak bantu lagi rakyat dapat harga barang murah? Maka kerajaan bermula hari ini, 1 April, memutuskan semua keperluan di tentera, polis, sekolah, asrama, hospital digunakan beras import supaya beras murah tempatan boleh dibeli oleh rakyat … maka keperluan rakyat dipermudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri Perlis di Masjid Nurul Huda Felda Chuping dekat sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Pada 25 Mac lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata sebarang kontrak kerajaan melibatkan pengedaran beras akan menggunakan beras putih import bermula April ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata lawatan kerjanya ke Perlis hari ini amat bermakna apabila pihaknya turut meminta input dan saranan daripada pihak kerajaan negeri berhubung usaha membangunkan negeri itu serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya ucap sekali lagi terima kasih kerana kesempatan diberikan kepada kita jadikan lawatan kerja bermakna dengan Speaker, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersama Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) dan pegawai kanan lain pelbagai kementerian.

“Ia tak jadi sesi taklimat biasa, selalunya bila kunjungan, taklimat dan kemudian pulang, tetapi kita minta input dan saranan daripada kerajaan negeri, ini kita lakukan di kebanyakan negeri, Perlis negeri kelima, dua hari lepas di Sarawak.

“Tumpukan apa projek dilaksanakan, apa masalah, kalau lewat sebab apa, apa masalah keluhan rakyat, mengapa kita tak dapat tangani dengan baik, apa lagi untuk jadikan Perlis maju baik dari segi pelancongan atau pembangunan ekonomi keseluruhannya,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata meskipun Kerajaan Negeri Perlis berlainan parti, hubungan akrab dan kerjasama negeri sangat baik dengan kerajaan pusat. 

Terdahulu, Anwar mempengerusikan taklimat pembangunan Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dan meninjau Bazar Ramadan Persiaran Wawasan di Kangar dalam lawatan singkatnya ke negeri itu hari ini.

-- BERNAMA