Seda Malaysia, Kumpulan Jakel Rai Anak Yatim Menerusi Program 'shopping' Raya'

03/04/2024 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Berkongsi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba tidak lama lagi, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia bersama Kumpulan Jakel meraikan 30 anak yatim dan miskin dari Rumah Bakti Nur Syaheerah menerusi program ‘Shopping Raya’ di Jakel Mall di sini semalam.

SEDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan sejumlah RM14,800 disumbangkan dalam program itu bagi pembelian sepersalinan kelengkapan raya kepada anak-anak Rumah Bakti Nur Syaheerah yang berumur satu hingga 17 tahun, selain sumbangan berbentuk 'goodies' dan duit raya.

Aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tautan Kasih SEDA Malaysia yang dijalankan sejak 2021 bersama rumah anak-anak yatim dan asnaf terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia Datuk Hamzah Hussin dalam kenyataan sama berkata Program Shopping Raya itu bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan, sekali gus berkongsi kemeriahan Aidilfitri.

“Kami berharap ia dapat memberikan keceriaan kepada anak-anak Rumah Bakti Nur Syaheerah dan menyemarakkan lagi amalan bersedekah di bulan Ramadan,” katanya.

Menurut SEDA dalam program itu Kumpulan Jakel turut memberikan sumbangan dan duit raya kepada anak-anak Rumah Bakti Nur Syaheerah yang disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

-- BERNAMA