Malaysia Sedia Berikan Bantuan Tambahan Bagi Misi Kemanusiaan Rakyat Palestin

05/04/2024 04:46 PM

GEORGE TOWN, 5 April (Bernama) -- Kerajaan menyatakan kesediaan memberikan bantuan tambahan bagi misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin, selepas Israel membenarkan penghantaran bantuan melalui pintu sempadannya dengan utara Semenanjung Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tambahan bantuan untuk Palestin itu, boleh dilakukan kerana kerajaan masih mempunyai peruntukan untuk berbuat demikian.

“(Adakah ada tambahan bantuan) Insya-Allah, kita akan bantu sebab masih ada peruntukan, queue banyak ratus lori (untuk bantuan), jadi biar clear dulu, (supaya) pengedaran (bantuan) lebih teratur,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Huda Sungai Ara di Bayan Lepas di sini, hari ini.

Hari ini media melaporkan pengumuman pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang menyatakan Israel akan membenarkan penghantaran ‘bantuan sementara’ melalui sempadannya dengan utara Semenanjung Gaza.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pada masa ini misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia sememangnya sudah bersiap sedia di sempadan Rafah.

“(Berapa jumlah nilai bantuan Malaysia yang tersedia) Saya tak ingat tetapi tiga, empat kali dah. Dua kali saya minta Presiden (Mesir) Abdel Fattah El-Sisi dan dua minggu lalu dia bantu percepatkan, dan kali ketiga dah sampai, tetapi sekarang ini yang standby masih ada,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan Solat Jumaat bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Al-Huda Sungai Ara itu.

Anwar dan jemaah lain mendengar khutbah disampaikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Fatwa Pulau Pinang Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman, sebelum menunaikan Solat Jumaat yang diimamkan Imam masjid itu Syaraafat Yaacob.

Selepas solat, Perdana Menteri sempat meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir.

Anwar dijadualkan menghadiri taklimat pembangunan Pulau Pinang di Komtar di sini, sebelum ke Program Bubuk Lambuk MADANI di Masjid Kubang Semang, Bukit Mertajam dan meninjau Bazar Ramadan Pasar Awam Seberang Jaya serta Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri di UiTM Pulau Pinang, dalam lawatannya ke negeri itu hari ini.

-- BERNAMA