Masyarakat Jangan Ambil Mudah Strok Haba - Pakar Kesihatan

07/04/2024 11:16 AM

KOTA BHARU, 7 April (Bernama) -- Masyarakat diminta sentiasa peka dan tidak mengambil mudah dengan risiko strok haba berikutan fenomena El-Nino yang sedang berlaku, memandangkan ia boleh mebawa maut.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata masyarakat perlu cakna terutamanya ketika bulan Ramadan memandangkan masyarakat Islam berdepan dengan keadaan kekeringan dalam tempoh yang lama iaitu melebihi 10 jam kerana berpuasa.

Beliau berkata jika berdepan dengan ancaman strok haba ini, ia boleh menyebabkan individu terlibat pengsan di peringkat awal, selain akan menyebabkan koma dan tidak sedarkan diri terutamanya kepada golongan komorbid.

“Ada segelintir pihak yang masih memandang remeh dengan risiko strok haba ini dan beranggapan ia hanya keadaan biasa sedangkan ia boleh mengundang kepada kematian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Rashidi Mohamed Pakri berkata sekiranya individu mempunyai gejala termasuk suhu badan melebihi 40 darjah Celcius, berkelakuan tidak normal, berpeluh, jantung berdebar-debar, berasa loya dan muntah-muntah segeralah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Jika berada di tempat yang dingin, jangan terus ke lokasi yang bersuhu tinggi memandangkan ia akan mempengaruhi keupayaan badan untuk mengatur suhu, sekali gus berisiko mengundang kekejangan haba, kelesuan haba dan juga strok haba," katanya.

Jumaat lepas, Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan satu kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan berlaku melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan, menjadikan kes kematian berkaitan cuaca panas kepada dua orang.

-- BERNAMA