Gangguan Bekalan Air Di Pasir Mas, Tumpat Pulih Sepenuhnya - Exco
PASIR MAS, 2 April (Bernama) -- Gangguan bekalan air di Pasir Mas dan Tumpat pulih sepenuhnya selepas Loji Rawatan Air (LRA) Kelar di sini beroperasi seperti biasa dan dua pam yang rosak akibat mendapan pasir serta sampah telah berjaya diatasi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Datuk Dr Izani Husin berkata pengeluaran air di loji itu meningkat kepada 80 juta liter sehari selepas pembaikan tersebut dan mencukupi untuk kegunaan penduduk di jajahan terlibat.
"Saya harap pengguna dapat menggunakan air secara berhemah selain mengambil langkah menyimpan stok air di kediaman masing-masing sepanjang Ramadan dan cuti perayaan sempena Aidilfitri ini," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan muka sauk LRA Kelar di sini hari ini.
Sebelum ini Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan memaklumkan 48,635 pelanggan AKSB sekitar jajahan Pasir Mas dan Tumpat mengalami gangguan bekalan air sejak Sabtu lepas.
Dalam pada itu Izani berkata tender bagi pembinaan LRA Kelar 2 akan dikeluarkan pada Jun depan dengan projek itu dijangka disiapkan dalam tempoh dua tahun akan datang.
-- BERNAMA