Bernama Rangkul Rencana Terbaik, Dominasi Kategori Radio Dalam Hkm 2023

07/06/2024 11:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berjaya merangkul lapan anugerah bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 pada Malam Wartawan Malaysia 2024 hari ini.

Wartawan Meja Rencana dan Isu Semasa Bernama Nurul Isnaini Mohd Muslim diumumkan sebagai pemenang emas bagi kategori Penulisan Rencana Terbaik yang membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000 dan sijil.

Kejayaan itu ialah kemenangan beliau bagi kategori sama untuk dua tahun berturut-berturut sejak 2023.

Pada edisi kali ini, beliau berjaya menambat hati panel juri menerusi tiga rencana bertajuk Perspective: Naivete Paves The Road To Hell, What Malaysians Falling For Job Scams Go Through; Important To Recognise Red Flags To Avoid Falling For Job Scams Overseas dan Kidnapped In Thailand: When ‘Friends' Sell You To Human Trafficking Syndicates.

Selain itu, wartawan Bernama Nurqalbi Mohd Reda dan Balkhis Awang juga daripada Meja Rencana dan Isu Semasa dipilih sebagai pemenang gangsa bagi kategori sama yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil menerusi tiga laporan bertajuk Mampukah PPR Keluar Daripada Belenggu Kawasan Hitam; Perumahan Berdaya Huni Atasi Tekanan Mental Kanak-Kanak dan PPR Berdaya Huni, KPKT Laksana Pelbagai Penambahbaikan.

Dalam pada itu, Bernama Radio turut mendominasi kemenangan dalam empat kategori iaitu Laporan Radio Terbaik, Dokumentari Radio Terbaik dan Bicarawara Radio Terbaik serta Lintas Langsung Radio Terbaik.

Wartawan penyiaran Bernama Radio Nurliyana Farhah Ruslan menjadi pemenang emas bagi kategori Laporan Radio Terbaik yang membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000 dan sijil menerusi tajuk laporan Palestin: Panji Perjuangan Belum Selesai.

Pemenang gangsa bagi kategori sama, Ahmad Fawzan Azmie Abdul Halil pula membawa pulang RM2,000 dan sijil menerusi laporan Mek Mulung: Puwitera Wangsa Bangsa.

Bagi kategori Dokumentari Radio Terbaik, wartawan penyiaran Bernama Radio Muhamad Azim Zaid diumum sebagai pemenang gangsa menerusi tajuk Menyingkap Kisah Pejuang Kanser, manakala peneraju Bernama Radio Raifanabillah Zulkifli dan Natasha Aimee Hasim diiktiraf sebagai pemenang perak bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik menerusi tajuk Membina Pengangkutan Awam Bersama.

Dalam kategori Lintas Langsung Radio terbaik, Wan Nadia Khairani Wan Chik dinamakan pemenang emas menerusi Lintas Langsung Perkembangan Bedah Siasat Mangsa Nahas Elmina dari HTAR, Klang dan pemenang perak, Ahmad Fawzan Azmie Abdul Halil menerusi Lintas Langsung Nahas Elmina.

Selain itu, jurufoto Bernama Zulfadhli Zulkifli muncul sebagai pemenang perak bagi kategori Kewartawanan Fotografi Terbaik menerusi tajuk 17 Ramadan.

Bagi kategori Bicarawara Video Terbaik, Shahrul Aini Saharan daripada Bernama TV memenangi perak menerusi karya Derita Di Gaza, Airmata Di Kuala Lumpur, manakala pemenang gangsa kategori Lintas Langsung Berita Video Terbaik juga daripada Bernama TV iaitu Amirudin Ahmad dan Siti Hajar Mohd menerusi karya Lintas Langsung Nahas Elmina.

Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj berkata kejayaan yang dilakar petugas agensi berita itu ialah satu pengiktirafan besar dalam usaha menghasilkan dan melaporkan bahan berita berkualiti.

Katanya, kejayaan itu juga sebagai pembakar semangat kepada seluruh warga Bernama untuk menghasilkan lebih banyak laporan berita berimpak dan berkualiti tinggi seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan Bernama sebagai agensi berita terbaik serantau.

Berkongsi kegembiraan, Nurliyana Farhah menyifatkan kemenangannya dalam Laporan Radio Terbaik menerusi tajuk Palestin: Panji Perjuangan Belum Selesai sebagai pengiktirafan kuasa untuk bersuara.

“Saya menggunakan amanah, tugas dan tanggungjawab sebagai wartawan untuk menyebarluaskan dan memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap isu kemanusiaan dan derita rakyat Palestin … ini satu usaha yang berbaloi,” katanya.

-- BERNAMA