IBADAH HAJI TUNTUT KEUTUHAN IMAN DAN KETAHANAN FIZIKAL
Kazzman Kamaruzzaman
Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima dan ianya wajib dilaksanakan oleh setiap individu yang berkemampuan dari segi kewangan serta memiliki kesihatan fizikal dan mental yang baik. Haji daripada segi bahasa bermaksud ‘menuju’ atau ‘mengunjungi ke sesuatu tempat’. Daripada segi istilah, haji bermaksud kunjungan seseorang ke Baitullah pada waktu yang ditetapkan serta melaksanakan kewajiban seperti yang ditentukan agama berdasarkan dalil-dalil yang disebut di dalam al-Quran dan Sunnah. Perintah untuk mengerjakan haji disebut di dalam al-Quran melalui firman-Nya:
“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajiban ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah ‘Ali Imran: 97)
Dari Ibnu ‘Umar R.A. berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Islam didirikan atas lima (perkara), penyaksian yang bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad merupakan utusan Allah, mengerjakan solat, mengeluarkan zakat, mengunjungi Baitullah (mengerjakan haji), dan berpuasa di dalam bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Berpandukan dalil-dalil tersebut jelas bahawa ibadah haji merupakan satu perintah dan tuntutan agama ke atas seluruh kaum Muslimin. Para ulama’ juga telah sepakat bahawa ibadah haji adalah wajib dilaksanakan oleh kaum Muslimin sekali seumur hidup.
Cabaran dan Dugaan dalam Melaksanakan Ibadah Haji
Dalam usaha untuk memperolehi kesempurnaan ibadah haji sekali gus mengharapkan haji yang mabrur (haji yang diterima di sisi Allah S.W.T.), para jemaah haji pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang kadangkala boleh mengganggu konsentrasi dalam melaksanakan ibadah haji. Ia merupakan ibadah yang membabitkan pengorbanan harta, fizikal, mental dan spiritual.
Pengorbanan Material
Menunaikan ibadah haji memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, perbelanjaan menunaikan ibadah haji bagi jemaah haji Malaysia telah pun meningkat dan ianya ditetapkan mengikut tahap sosioekonomi seseorang. Mengikut informasi yang dikeluarkan oleh Tabung Haji (TH), jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dikenakan bayaran sebanyak RM12,356. Kumpulan M40 pula dikenakan bayaran sebanyak RM19,152, manakala kumpulan T20 pula dikenakan bayaran sebanyak RM33,300. Perbelanjaan ini termasuk perkhidmatan untuk menunaikan ibadah haji seperti kos penerbangan, kos pengangkutan dan kos penginapan di Arab Saudi termasuk sajian makanan, kursus haji, kos perubatan, dan bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi. Justeru, bakal jemaah haji seharusnya membuat persediaan yang rapi daripada segi perbelanjaan ibadah haji dengan perancangan kewangan yang teratur agar dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
Perbelanjaan untuk menempuh perjalanan ibadah haji ini merupakan satu perjuangan dan jihad pada jalan Allah S.W.T. dan satu pelaburan yang mampu menyelamatkan kita daripada azab api neraka. Oleh kerana itu, janganlah seseorang itu terlalu berkira untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk menunaikan ibadah haji. Sebaliknya, ikhlaskan hati demi mendapatkan keredaan Allah S.W.T.
Ketahanan Fizikal
Aspek fizikal pula merupakan antara aspek yang sangat penting dalam pelaksanaan ibadah haji. Maksud ‘berkemampuan’ dalam hadith Nabi S.A.W. boleh ditafsirkan sebagai berkemampuan daripada segi fizikal dan material sebagaimana sabdanya:
“Islam itu ialah kamu bersaksi (bersyahadah) bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah, dan hendaklah kamu mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah jikalau kamu mampu mengerjakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Justeru, ibadah haji menuntut setiap Muslim untuk menjaga kesihatan tubuh badan yang merupakan anugerah Allah serta satu amanah untuk dijaga dan dipelihara demi melaksanakan ibadah kepada-Nya. Tabiat merokok yang boleh menjejaskan kesihatan seharusnya dihentikan dengan segera.
Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang berbeza, tahap kesihatan jemaah akan mudah terjejas, mereka boleh mengalami pelbagai jenis penyakit seperti batuk, sakit tekak, selesema, hidung berdarah, bibir merekah atau kering dan juga sembelit. Ini juga merupakan salah satu cabaran yang bakal dihadapi oleh para jemaah haji pada setiap musim haji.
Keutuhan Iman
Ibadah haji dilakukan secara berjemaah, di mana jutaan jemaah haji berhimpun di suatu tempat yang sama dan terdiri daripada latar belakang yang berbeza sama ada dari aspek geografi, bahasa, budaya, kedudukan, keturunan, warna kulit, pendidikan, harta dan sebagainya. Kesabaran dan ketabahan jemaah haji akan lebih tercabar dalam keadaan yang sesak ketika menunaikan ibadah haji kerana ramai umat Islam berkumpul serentak dan tertumpu untuk melakukan ibadah yang sama. Suasana sesak dan padat mendorong tingkah laku menjadi tidak terkawal khususnya bagi mereka yang kurang sabar dan kurang menghayati pelaksanaan ibadah haji. Sikap yang ditunjukkan kadangkala di luar jangkaan apabila berlakunya tekanan persekitaran seperti terlalu ramai orang yang sememangnya sudah dijangka, cuaca yang sangat panas, waktu yang agak terbatas, kemudahan yang terhad dan kawasan yang sempit. Justeru, cabaran suasana sebegini perlu dihadapi dan ditempuhi dengan penuh keimanan, kesabaran dan keinsafan.
Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi oleh para jemaah haji, namun di situ juga terdapat kelebihan dan kemuliaan dalam menghadapinya. Cabaran yang diberikan oleh Allah S.W.T. sudah semestinya untuk mendidik jiwa manusia yang mungkin kadangkala lupa dan alpa terhadap tujuan penciptaannya. Segala cabaran dan dugaan itu adalah suatu wadah terbaik dalam mendidik jiwa seseorang Muslim ketika mengerjakan ibadah haji di samping mencari keredaan-Nya serta mampu melatih diri untuk menjadi Muslim yang sentiasa taat kepada Penciptanya.
-- BERNAMA
Kazzman Kamaruzzaman ialah Ketua Jabatan Ilmu Wahyu, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia