Belanjawan 2025: Harapan Penjawat Awam Pada Pembentangan SSPA
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 dijangka menjadi tumpuan utama bagi 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara.
Sistem saraan baharu ini bertujuan untuk memperkasakan perkhidmatan awam, menampilkan komitmen kerajaan dalam memastikan penjawat awam mendapat pelarasan gaji secara berperingkat. Fasa pertama pelarasan ini akan bermula pada 1 Dis, diikuti fasa kedua pada 1 Jan 2026.
Melalui pelarasan tersebut, pegawai Kumpulan Pelaksana serta pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan menerima kenaikan sebanyak 15 peratus, manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dijangka menerima pelarasan sebanyak tujuh peratus.
Pegawai Penerangan Mazizul Dani, 38, menyifatkan pelarasan gaji ini sebagai langkah yang mampu meringankan beban kos sara hidup, sejajar dengan usaha kerajaan menangani isu ini dalam belanjawan kali ini.
“Saya berharap Belanjawan 2025 turut menitikberatkan soal kebajikan penjawat awam, termasuk insentif seperti potongan cukai pendapatan yang bersesuaian,” katanya.
Pegawai Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor, Herlina Ainizawati Zakaria, 40, berharap bantuan kewangan khas seperti yang diumumkan dalam belanjawan terdahulu dapat diteruskan meskipun pelarasan gaji fasa pertama bakal dilaksanakan Disember ini.
Beliau berkata antaranya bantuan akhir tahun dan bantuan khas Aidilfitri yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban penjawat awam terutamanya bagi yang berkeluarga.
“Sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada Februari, diikuti bulan Ramadan pada awal Mac dan Hari Raya Aidilfitri pada penghujung bulan yang sama.
"Tempoh yang singkat ini pasti akan memberi tekanan kepada mereka yang mempunyai ramai anak,” katanya.
Seorang guru Marzukhi Mokhtar, 34, pula berharap isu kuarters penjawat awam yang uzur dan kurang diselenggara turut diberi perhatian dalam Belanjawan 2025.
“Ada kuarters yang sudah terlalu usang dengan cat yang berkulat serta kemudahan yang rosak. Malah, ada yang terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk memperbaiki kediaman mereka,” jelasnya.
Beliau berharap peruntukan bersesuaian diberikan agar kuarters kerajaan dapat dibaik pulih, sekali gus meningkatkan keselesaan dan prestasi penjawat awam.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini.
-- BERNAMA