Sultan Selangor Titah Pegawai Kerajaan Bertugas Penuh Tanggungjawab, Jauhi Rasuah

18/02/2025 01:55 PM

SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pegawai kerajaan dan penjawat awam di negeri ini khususnya di pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya bertugas dengan penuh tanggungjawab serta menjauhi amalan rasuah dan penyelewengan. 

Baginda bertitah ketua jabatan juga perlu memastikan salah guna kuasa tidak berlaku di jabatan masing-masing. 

“Beta tidak mahu mendengar lagi pemilikan tanah dan pengeluaran lesen perniagaan diselewengkan bagi memenuhi keperluan peribadi,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini. 

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Datuk Dr Yusri Zakariah sebelum ini mengesahkan tujuh kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang merupakan antara 17 penjawat awam yang ditahan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan perancangan pembangunan negeri perlu menitikberatkan program yang memberi manfaat kepada rakyat dan bukan hanya memberi tumpuan kepada keuntungan sahaja.

Baginda juga mahu semua wakil rakyat berkhidmat untuk rakyat dan memikirkan program-program yang boleh membantu dan memberikan kesejahteraan kepada masyarakat. 

“Beta ingin melihat kerajaan beta dan perkhidmatan awam di Selangor melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, efisien dan berdaya saing,” titah baginda. 

Sultan Selangor juga menzahirkan harapan agar rancangan tebatan banjir yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berjumlah RM1.774 billion dipercepatkan kerana kelewatan boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan kerajaan negeri. 

Baginda juga menitahkan agar pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diperbanyakkan di tempat-tempat strategik supaya perlakuan jenayah dapat dikesan dengan segera. 

“Di sini beta menyeru agar pihak berkuasa polis dan bomba sentiasa siap sedia menjalankan tugas menjaga keselamatan di negeri ini,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menambah baik sistem dengan fasiliti keselamatan yang diiktiraf di sekolah tahfiz di samping memastikan alat pencegah kebakaran berada dalam keadaan baik serta diluluskan pihak bomba.

Sultan Sharafuddin bertitah agar sekolah-sekolah tahfiz yang tidak berdaftar, dan tidak memenuhi syarat, hendaklah ditutup.

JAIS juga diingatkan supaya terus membanteras ajaran-ajaran sesat yang menyeleweng dan berusaha mengadakan program-program untuk mengukuhkan lagi akidah umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Baginda mahu JAIS dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memainkan peranan membantu anak yatim dan asnaf bagi memastikan golongan itu mendapat pendidikan serta keperluan asas yang baik dan sempurna.

“Keselesaan dan keselamatan tempat tinggal mereka juga perlulah mencukupi dan juga terjamin agar mereka dapat menjalani kehidupan yang normal seperti insan yang lain. Beta harap tidak ada individu atau kumpulan tertentu yang mempergunakan golongan anak-anak yatim dan asnaf di negeri ini untuk kepentingan dan keuntungan peribadi,” titah baginda.

Sultan Selangor turut bertitah agar tapak bazar Ramadan diberi kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga dan bukan dimanipulasi atau dijual hak pelesenannya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. 

“Penjualan hak pelesenan bazar Ramadhan kepada pihak ketiga ini akan menyebabkan harga barangan menjadi mahal dan rakyat akan merasa terbeban,” titah baginda.  

-- BERNAMA