Bernama Hasilkan Video Azan Maghrib AI Sempena Ramadan
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Bersempena kedatangan Ramadan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah menghasilkan sebuah video azan maghrib menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pengalaman visual dan spiritual umat Islam.
Video berdurasi empat minit 32 saat itu yang menggabungkan rakaman muazin sebenar dengan elemen generatif AI bakal disiarkan menerusi saluran Bernama TV, Bernama Radio dan pelbagai platform media sosial agensi berkenaan sepanjang Ramadan yang akan bermula Ahad ini.
Bernama TV menerusi kenyataan memaklumkan kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kandungan dihasilkan menggunakan teknologi AI dengan azan dilaungkan oleh Pensyarah Jabatan Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat Universiti Islam Selangor (UIS) Dr Muhammad Syafee Salihin Hassan menggunakan taranum Hijaz.
Alunan itu dipilih kerana keistimewaannya dalam menyampaikan seruan azan dengan ketenangan, kelembutan, serta kejelasan makhraj yang tinggi.
"Alunan Hijaz mempunyai kelebihan dalam memberikan kesan mendalam kepada pendengar, meningkatkan penghayatan spiritual serta merangsang ketenangan jiwa sebelum berbuka puasa," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan azan AI berkenaan dihasilkan berdasarkan pemerhatian terhadap azan-azan terdahulu, sebelum diberi nafas baharu melalui teknologi AI bagi memperhalusi perincian visual, pencahayaan serta kesan sinematik.
Pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kualiti penyampaian, malah menjadikannya lebih menyentuh jiwa dan mudah dihayati oleh penonton.
Selain azan maghrib, projek berkenaan turut merangkumi video doa berbuka puasa dan doa makan yang juga akan disiarkan menerusi semua saluran Bernama termasuk media sosial.
Bernama berharap inisiatif berkenaan dapat memberikan pengalaman baharu kepada masyarakat Islam dalam menghayati azan dan doa berbuka puasa dengan lebih mendalam, sejajar dengan perkembangan teknologi digital dalam dunia penyiaran Islam.
-- BERNAMA