IDA Antara Ancaman Kesihatan Terbesar Kanak-Kanak Di Malaysia - Pakar
Muhammad Basir Roslan
Tempoh awal tumbesaran, iaitu dari lahir hingga berusia lima tahun, adalah antara peringkat kritikal bagi seorang kanak-kanak, khususnya dari segi pemakanan seimbang yang akan memastikan si anak memperoleh segala khasiat diperlukan untuk perkembangan fizikal dan mental.
Namun, peringkat usia ini juga membawa cabaran kepada ibu bapa kerana kebanyakan kanak-kanak cerewet dan hanya mengambil makanan yang diinginkan mereka, terutama makanan bergoreng dan bergula tinggi.Tidak kurang juga yang langsung enggan menyentuh sayur-sayuran, dan ada ibu bapa menuruti sahaja lantaran tidak mahu anak meragam.
Cabaran ini bertambah besar ketika musim perayaan, khasnya semasa Ramadan dan Syawal, dengan limpahan pelbagai jenis makanan yang ada sesetengahnya sedap namun kurang berzat selain tinggi kandungan gula, lemak dan garam.
Menurut pakar, jika pola pemakanan sebegini berterusan, si anak berisiko mengalami pelbagai masalah kesihatan dalam jangka panjang termasuk anemia kekurangan zat besi (IDA). IDA berlaku apabila tubuh kekurangan sel darah merah yang disebabkan oleh ketidakcukupan zat besi.
Kekurangan sel darah merah ini akan menjejaskan pembekalan oksigen ke seluruh tubuh dan seterusnya boleh memberi kesan serius kepada pertumbuhan kanak-kanak, terutamanya dari segi perkembangan otak dan keupayaan pembelajaran.
IDA juga dikesan dalam kalangan wanita hamil. Menurut pakar, IDA bukan isu kecil yang boleh dipandang ringan. Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 menunjukan prevalens anemia di Malaysia kekal tinggi. Hampir 46 peratus (satu daripada dua) kanak-kanak bawah umur lima tahun dan dua daripada lima wanita hamil di negara ini dilaporkan mengalami masalah tersebut.
“PANDEMIK SENYAP”
Profesor dan Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata IDA boleh memberi impak besar dalam kehidupan setiap individu. Namun, keadaan ini sering kali tidak disedari kerana gejalanya yang tidak begitu ketara, antaranya pucat, mudah marah, cepat letih, peningkatan kadar degupan jantung serta radang di tepi bibir.
“Selain menjejaskan pertumbuhan fizikal dan perkembangan kognitif kanak-kanak, kekurangan zat besi yang berterusan juga turut melemahkan daya tahan tubuh, sekali gus menjadikan individu lebih mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.
“Bagi wanita hamil, IDA boleh menyebabkan komplikasi lebih serius kepada kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan, termasuk kelahiran pramatang serta kematian bayi secara mengejut. Kajian saintifik turut menunjukkan terdapatnya kaitan antara IDA dan depresi pascamelahirkan, “ katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Menyifatkan IDA sebagai “pandemik senyap” kerana berlaku tanpa disedari, profesor daripada Universiti Malaya (UM) ini berkata kajian yang dilakukannya mendapati satu daripada tiga kanak-kanak di Malaysia berisiko mengalami anemia.
“Risiko lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang lebih muda dan kurang berat badan (daripada sepatutnya) memandangkan keperluan zat besi kanak-kanak adalah lebih tinggi berbanding individu dewasa disebabkan oleh pertumbuhan fizikal dan kognitif mereka yang pesat,” katanya.
Dr Muhammad Yazid yang juga penyelidik utama Kajian Iron Strong Danone 2023 melibatkan 1,201 kanak-kanak bawah usia empat tahun di klinik kesihatan terpilih, berkata situasi itu boleh berlaku di bandar dan luar bandar.
“Yang kita risaukan adalah amalan pemakanan kurang seimbang, termasuk pengambilan makanan tinggi kandungan lemak, gula dan garam berlebihan masih lagi tegar dalam kalangan rakyat di negara ini. Keadaan ini boleh memburukkan lagi masalah kekurangan zat besi.
"Banyak makanan yang dijual, khususnya di bazar Ramadan, boleh mengandungi sedikit atau tiada langsung kandungan zat besi. Makanan seperti popia dan kuih-muih tradisional, walaupun enak, sering kali dilihat kurang kandungan zat besi," jelasnya.
Tambah beliau, tempoh dari awal Ramadan hingga ke Aidilfitri boleh menjadi waktu berisiko tinggi untuk mengalami IDA jika pengambilan makanan tidak dilakukan dengan bijak.
“Walaupun IDA biasanya terjadi dalam jangka masa panjang, kekurangan zat besi yang berterusan dalam satu tempoh lama boleh memburukkan lagi keadaan sedia ada.
“Dalam konteks ini, penyedia makanan memainkan peranan penting dengan menawarkan hidangan berkhasiat dan seimbang. Gunakan bahan segar dan kaya zat besi seperti sayur-sayuran hijau, daging merah, ayam dan ikan. Kurangkan makanan diproses dan sediakan lebih banyak buah-buahan segar. Untuk minuman kanak-kanak, pilihlah air kosong atau susu dan elakkan minuman bergula demi membantu kanak-kanak membesar sihat dan kuat," nasihat beliau.
PERKENALKAN SARINGAN WAJIB
Untuk menangani masalah IDA dengan lebih efektif, Dr Muhammad Yazid mencadangkan kepada kerajaan agar memperkenalkan saringan anemia wajib bagi kanak-kanak secara berkala, khususnya mereka yang berada dalam julat umur lima tahun dan ke bawah.
Katanya, ini kerana kanak-kanak dalam kelompok usia itu adalah antara yang paling berisiko untuk mengalami anemia.
Saringan secara berkala dapat membantu mengenal pasti masalah anemia di peringkat awal selain memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga mengambil langkah proaktif dalam memastikan anak mereka mendapat nutrien mencukupi.
"Pengesanan awal adalah kunci utama dalam mengatasi masalah ini, kerana jika dibiarkan, anemia boleh mengakibatkan komplikasi serius yang boleh mempengaruhi daya tahan tubuh dan prestasi akademik kanak-kanak di masa depan.
“Langkah sebegini juga mungkin dapat mengurangkan risiko jangka panjang yang boleh berlaku akibat kekurangan zat besi. Menerusi pengesanan awal, langkah-langkah intervensi pemakanan yang sesuai boleh dilaksanakan untuk memastikan kesihatan anak-anak terjaga dengan baik," tambahnya lagi.
Tegasnya, masalah IDA adalah isu kesihatan yang memerlukan pendekatan menyeluruh, melibatkan sektor kerajaan, swasta, pakar kesihatan dan juga ibu bapa.
“Sekiranya mampu dilaksanakan, saya percaya pendekatan ini akan dapat mengurangkan prevalens IDA secara progresif dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia,” katanya.
KESEDARAN DAN PENDIDIKAN PEMAKANAN
Sementara itu, Pengarah SEA Medical & Nutritional Science Hub Danone Southeast Asia Angie Low berkata kajian yang dijalankan oleh syarikat tersebut dengan kerjasama penyelidik UM dan Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan kepentingan kesedaran pemakanan seimbang dalam menangani masalah anemia kekurangan zat besi.
“Kesedaran mengenai pemakanan yang sihat dan tepat dapat memberikan ibu bapa pengetahuan mendalam demi memastikan anak-anak mereka menerima zat besi yang mencukupi.
"Satu daripada inisiatif yang kami jalankan ialah memperkenalkan penggunaan alat penilaian kendiri dalam talian yang membolehkan ibu bapa menilai tahap pengambilan zat besi anak-anak mereka. Kaedah ini dibangunkan dengan kerjasama pakar pediatrik dan pakar nutrisi untuk memberikan panduan yang jelas dan terperinci tentang jenis serta jumlah makanan kaya dengan zat besi yang perlu dimasukkan dalam diet harian anak-anak.
“Inisiatif lain termasuklah beberapa program kesedaran mengenai pemakanan yang bertujuan memastikan ibu bapa mendapat maklumat tepat tentang kepentingan zat besi dalam diet anak-anak mereka. Program-program ini turut memberi tumpuan kepada pemilihan makanan yang lebih sihat dengan tujuanmengurangkan risiko anemia kekurangan zat besi dalam kalangan kanak-kanak,” jelasnya.
Beliau yakin tahap kesedaran lebih tinggi tentang pemakanan seimbang dapat membantu ibu bapa membuat keputusan lebih bijak dalam memilih makanan yang memberikan manfaat kesihatan optimum untuk anak-anak mereka.
TINGKATKAN PEMERIKSAAN KESIHATAN KANAK-KANAK
Sementara itu, Low berkata syarikat tersebut turut terlibat dalam kerjasama strategik dengan Jabatan Kebajikan Malaysia menerusi saringan anemia di taska yang berdaftar di bawah jabatan berkenaan, sebagai langkah awal mengenal pasti isu kesihatan yang sering terlepas pandang ini.
“Inisiatif sebegini bukan sekadar sebuah program kesihatan, tetapi simbol harapan untuk memastikan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan turut menerima perhatian dan rawatan yang sewajarnya. Akses mudah kepada pemeriksaan kesihatan ini membolehkan ibu bapa memperoleh maklumat penting mengenai status kesihatan anak-anak mereka, seterusnya mengambil tindakan pencegahan sebelum terlambat.
“Kesedaran yang dipupuk melalui program seumpama ini bukan sahaja berupaya melindungi kesihatan generasi muda, malah memperkukuh kefahaman masyarakat tentang peranan pemakanan seimbang dalam mencegah IDA," ujar beliau.
Katanya, beliau yakin dengan kesungguhan masyarakat dalam menitikberatkan aspek pemakanan seimbang akan dapat membentuk generasi muda yang lebih sihat, cergas dan sejahtera.