Marrybrown Tembusi Pasaran Kemboja, Uzbekistan Tahun Ini

01/05/2024 09:29 AM

JOHOR BAHRU, 1 Mei (Bernama) -- Pengendali rangkaian restoran makanan segera halal Malaysia, Marrybrown Sdn Bhd bakal menembusi pasaran antarabangsa baharu dengan membuka cawangan di Kemboja dan Uzbekistan tahun ini.

Ketua Pegawai Kewangan Marrybrown David Liew berkata pembukaan cawangan di dua negara itu merupakan bukti kepada imej dan jenama Marrybrown semakin dikenali di pasaran antarabangsa.

“Kami komited untuk memperkukuh jenama ini dalam menawarkan pelbagai pilihan menu kami kepada komuniti tempatan dan luar negara.

“Kami juga bakal membuka lima cawangan baharu di Malaysia iaitu masing-masing satu di Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang dan Selangor,” katanya ketika berucap pada majlis Keindahan Raya Bersama Marrybrown di Ibu Pejabat Marrybrown di sini malam tadi.

Turut hadir Pengasas Marrybrown Datuk Lawrence Liew dan isterinya Datin Nancy Liew.

David Liew berkata baru-baru ini pihaknya telah membuka cawangan baharu di Lahad Datu, Sabah dan Melbourne, Australia menjadikan jumlah keseluruhan restoran makanan segera itu kepada lebih 500 cawangan di Malaysia dan antarabangsa termasuk di Singapura, Maldives, Sweden dan India.

Mengenai program Keindahan Raya Bersama Marrybrown, beliau berkata ini merupakan program tahunan yang dianjurkan pihaknya sempena sambutan Hari Raya Aidilfiitri.

“Selain meraikan kakitangan dan ahli keluarga mereka, kami turut berbesar hati berkongsi kegembiraan dengan lebih 50 kanak-kanak dari Pusat Asuhan Kanak-Kanak Sari Saujana, Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh dan Bengkel Terlindung Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea.

“Sempena Ramadan dan Syawal tahun ini kami telah mengagihkan 20,000 bubur lambuk dan 20,000 burger ayam di cawangan-cawangan Marrybrown seluruh negara selain turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan golongan B40,” katanya.

David Liew berkata Marrybrown komited untuk terus menghidangkan makanan berkualiti kepada pelanggan dan juga meraikan momen istimewa bersama pelanggan mereka.

“Kami juga amat berterima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan rakyat Malaysia terhadap jenama Marrybrown ini,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan