Ramadan: Skuad hoki lelaki kebangsaan kekal ceria jalani latihan

16/04/2021 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 16 April -- Ibadah puasa pada bulan Ramadan bukanlah penghalang bagi pemain skuad hoki lelaki kebangsaan untuk kekal bersemangat menjalani latihan menjelang siri aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula esok hingga 24 April ini.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan A. Arul Selvaraj yang pertama kali mengendalikan latihan pada bulan puasa sejak dilantik Ogos tahun lepas, teruja dengan suasana positif dan 'mood' ceria ditunjukkan barisan 22 pemainnya dalam sesi latihan pertama malam tadi.

"Bagus, saya nampak semua gembira. Sesi latihan pertama kami tumpukan kepada teknik bertahan dalam pukulan sudut penalti dan esok pula (hari ini) lebih kepada 'build up play’ dan konsep permainan untuk perlawanan persahabatan nanti,” katanya dalam satu video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.

Arul berkata beliau akan tetap meneruskan sesi latihan yang dijalankan pada sebelah malam sepanjang bulan Ramadan ini walaupun selepas berakhirnya aksi persahabatan nanti.

Pasukan hoki lelaki kebangsaan dijangka beraksi dalam aksi tiga penjuru menentang pasukan Great Britain dan Jepun pada siri perlawanan persahabatan berkenaan.

Seramai 22 pemain yang terdiri daripada 10 pemain pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), tujuh pemain UniKL, tiga pemain Maybank dan dua pemain mewakili pasukan Terengganu Hockey Team (THT) membawa cabaran negara pada perlawanan itu.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan