KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Tanggal 17 Julai 2014 - satu tarikh yang tidak mungkin dapat dilupakan semua ahli keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga meragut nyawa 298 penumpang dan anak kapal.
Rasa rindu, sedih dan pilu tidak sesekali luput dalam hati waris yang masing-masing mahukan keadilan kepada mangsa terlibat dalam nahas pesawat yang ditembak sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat, 18 Julai 2014.
Di PERAK, Noorlin Mohd Nor, 57, berkata walaupun 10 tahun telah berlalu, masih terngiang-ngiang nasihat kakaknya yang dipanggil “Kak Nyah” kerana arwah menelefonnya setiap minggu.
Anak bongsu daripada 14 beradik itu berkata hubungannya dengan arwah sangat rapat umpama hubungan ibu dan anak memandangkan jarak usia yang jauh dan sering diberi nasihat serta bertanya khabar antara satu sama lain.
"Dia orang yang very soft spoken jadi nasihat dialah yang paling kita ingat...Adik, awak jaga badan, kesihatan, jangan gemuk sangat...dia cakap setiap kali semasa telefon, macam seorang emak, saya memang rindu sangat," katanya ketika ditemui Bernama di Ipoh, Perak.
Noorlin berkata beliau reda dengan pemergian Allahyarham Noor Rahimmah dan sentiasa menziarahi pusara arwah di sini dan berharap tragedi yang menimpa kakaknya mendapat keadilan dan mereka yang bersalah menerima hukuman setimpal.
Menyingkap detik menerima perkhabaran duka itu, Noorlin berkata pada hari kejadian Allahyarham Noor Rahimmah sempat menelefon untuk memaklumkan akan menaiki kapal terbang dari Amsterdam, Belanda untuk pulang ke Malaysia.
"Masa itu bulan puasa (Ramadan), tak silap saya 10 malam terakhir dan saya di masjid. Kemudian abang dan kakak pergi ke airport (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) selepas berbuka puasa.
"Saya di masjid, ketika mereka dalam perjalanan, anak saudara saya call katanya "acu (panggilan emak atau ayah saudara bongsu), wan nyah (Allahyarham Noor Rahimmah) naik kapal terbang MH apa?", saya pun beritahu MH17... Kemudian anak saudara saya suruh tonton televisyen dan saya lihat ada berita mengenai MH17...," katanya yang kini fobia untuk menaiki kapal terbang meskipun untuk penerbangan dalam negara.
Di KELANTAN, Daud Abdul Kadir, 85, berkata dia hanya mampu mengubat rindu dengan seutas jam tangan dihadiahkan Allahyarham cucunya iaitu pembantu juruterbang Ahmad Hakimi Hanapi dan setiap kali melihat jam itu dia tidak mampu menahan sebak.
"Sudah 10 tahun Ahmad Hakimi pergi terasa baru semalam semuanya terjadi dan jam tangan ini sentiasa melekat di tangan saya. Arwah beli dengan harga RM200 ketika itu dan hadiahkan kepada saya beberapa bulan sebelum dia pergi buat selamanya," katanya kepada Bernama baru-baru ini di rumahnya di Melor dekat Kota Bharu, Kelantan.
Nenek kepada Allahyarham, Zaleha Bawal Khan, 83, berkata dia tidak pernah melupakan cucunya kerana sering teringatkan perwatakan yang lemah lembut dan pendiam.
"Selepas beberapa tahun arwah meninggal dunia, anak saya (Noriah Daud iaitu ibu mangsa) memberitahu bahawa imam di sana memaklumkan jenazah Ahmad Hakimi yang pertama ditemukan semasa pencarian.
"Lebih menakjubkan, imam dan beberapa wakil Malaysia melihat jenazah cucunya sempurna dan dalam keadaan elok, semua ini baru kami tahu," katanya.
Di KUALA LUMPUR, ibu kepada Ketua Pramugari MH17 Azrina Yakob yang terkorban dalam tragedi itu, Habibah Ismail, 75, juga berharap nasib yang menimpa anaknya mendapat keadilan sewajarnya.
“Sehingga kini masih belum mendapat keputusan seperti yang diinginkan oleh setiap waris mangsa yang lain. Mereka tembak kapal terbang yang dalam itu ada orang (termasuk arwah) memang sejak awal tragedi sampai sekarang saya sentiasa ikuti semua perkembangan (kes),” katanya di sini baru-baru ini.
Di JOHOR, abang Allahyarham Mohd Ali Md Salim, Mohd Zaki, 48, berkata mereka sekeluarga tidak dapat melupakan kejadian yang menimpa adiknya itu dan berharap agar tragedi malang itu mendapat pembelaan.
Mohd Zaki berkata bagi mengubati rasa rindu, mereka sekeluarga menziarahi pusara arwah yang dikebumikan bersebelahan dengan pusara ayah Md Salim Sarmo di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, dekat sini.
“Namun perkara paling diingati ialah hajat arwah tidak sempat memberikan hadiah yang dibawanya sebagai cenderahati kepada kami yang dibeli di sana (Amsterdam),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Ali adalah antara 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan