Arul bangga komitmen ‘Speedy Tigers’

18/04/2021 12:06 PM

KUALA LUMPUR, 18 April -- Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan A. Arul Selvaraj tetap bangga dengan persembahan anak buahnya walaupun kecundang 0-3 di tangan Jepun pada aksi persahabatan tiga penjuru di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Walaupun mengharungi aksi di bulan Ramadan, Arul kagum dengan sikap barisan pemain yang menunaikan permintaannya dengan menampilkan aksi bertenaga serta mempamerkan usaha tinggi untuk mencabar Jepun pada aksi tersebut.

“Satu perkara saya tekankan sepanjang latihan dua hari sebelum ini adalah konsep bertahan...mereka banyak buat dengan betul tetapi mereka harus menguatkan lagi aspek corak bertahan satu lawan satu selepas ini,” katanya dalam rakaman audio menerusi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dikongsikan kepada media hari ini.

Arul pada masa sama berharap beberapa pemain yang mengalami kecederaan pada aksi malam tadi dapat pulih sepenuhnya menjelang pertembungan seterusnya menentang Great Britain, esok (19 April).

Pada perlawanan diadakan di bawah konsep gelembung sukan, juara Sukan Asia 2018 itu memperoleh gol menerusi pukulan sudut penalti Hirotaka Zendana pada minit ke-19.

Pada babak kedua, pasukan pelawat yang beraksi pada perlawanan pertama mereka selepas 18 bulan, menyumbat dua lagi gol padang melalui Kota Watanabe dan Ryosei Kato, masing-masing pada minit ke-50 dan ke-55.

Aksi tersebut juga merupakan medan pertama Arul setelah mengambil alih tugas daripada jurulatih berpengalaman dari Belanda Roelant Oltmans, yang memutuskan untuk meninggalkan KHM pada Ogos lepas. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan