PGA7 rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM23,000

26/04/2021 11:47 AM

KOTA BHARU, 26 April -- Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas pelbagai mercun dan bunga api bernilai RM23,595 dekat Jeram Perdah, Pasir Mas pada kira-kira 5.30 petang semalam.

Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata antara mercun yang dirampas adalah jenis mercun 'bateri', mercun das dan mercun bola yang menjadi kegemaran orang ramai ketika Ramadan dan musim perayaan serta dijual dengan harga tinggi.

"Antara jenama mercun yang dirampas termasuklah mercun Trilogy, B Gonic Fountain, Whistlemoon Tomahawk, Happy Boom Silver Spark Crackling, Happy Boom Spining Fower, Missiles Battery dan Golden Deer.

“Kesemua mercun ini diserahkan kepada Balai Polis Jeram Perdah pada pukul 10 malam tadi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957i," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Memperincikan kes rampasan, Azhari berkata kegiatan itu dikesan ketika sepasukan empat anggota Strike Force Kompeni A PGA7 membuat rondaan Op Benteng secara bermotosikal di lokasi kejadian.

"Ketika rondaan anggota PGA ternampak dua lelaki sedang memunggah guni-guni putih dan kotak-kotak ke dalam sebuah kereta Honda Accord model terbaharu yang tidak pasti nombor pendaftarannya, di kebun getah berhampiran pangkalan haram Salleh Berek.

"Namun, kedua-dua lelaki itu sempat lolos dengan seorang suspek menaiki perahu ke Thailand manakala seorang lagi memecut kereta dan melarikan diri," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam kejadian ini, pihak berkuasa percaya modus operandi penyeludup adalah menggunakan kereta mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk menyeludup mercun.

Beliau bagaimanapun berkata, anggota PGA akan sentiasa menjalankan pemeriksaan terutamanya di setiap sekatan jalan raya (SJR).

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan