11 Kes Rampasan Mercun, Bunga Api Tanpa Permit Bernilai Rm38,600 Di Kelantan

08/04/2024 11:25 AM

PASIR MAS, 8 April (Bernama) -- Polis Kelantan merekodkan 11 kes rampasan mercun dan bunga api tanpa permit sah sejak awal Januari hingga semalam bernilai RM38,600.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kes yang direkodkan berlaku di Pasir Mas, Tumpat, Jeli, Machang, Gua Musang dan Pasir Puteh.

"Kesemua yang ditahan dipercayai hanya peniaga kecil-kecilan dengan memperoleh bahan terbabit daripada pembekal tempatan dan menjualnya sebagai menambah pendapatan menjelang sambutan Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Program Singgah Sahur Ketua Polis Kelantan Bersama Anggota Bertugas di Lapangan di Bandar Tasek Raja di sini, awal pagi tadi.

Dalam program itu, Muhamad Zaki turut mengambil kesempatan bersahur dengan anggota Unit Pencegahan Jenayah, Unit Kereta Peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes terbaharu direkodkan di Machang pada Sabtu lepas melibatkan dua lelaki berumur 18 dan 51 tahun ditahan kerana berniaga mercun dan bunga api tanpa permit sah di Bazar Ramadan Dataran Kemahkotaan, Machang.

Beliau berkata kedua-duanya ditahan semasa anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap gerai mereka dan menemukan mercun dan bunga api bernilai RM1,730.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan