Kutipan sisa pepejal meningkat hampir 33 ribu tan ketika Ramadan – Alam Flora

05/05/2021 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei -- Kutipan sisa pepejal di ibu kota meningkat kepada hampir 33,000 tan semasa Ramadan tahun ini berbanding 27,000 tan dalam tempoh  sama tahun lepas.

Timbalan Pengurus Besar Bahagian Operasi Alam Flora Sdn Bhd, Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim berkata pembukaan semula bazar Ramadan merupakan antara faktor  utama yang menyumbang kepada peningkatan hampir 20 peratus kutipan sisa pepejal.

“Jadi bila ada penjualan makanan yang banyak, ada kemungkinan masyarakat membeli makanan secara berlebihan.

Apabila pembelian dilakukan secara berlebihan melebihi penggunaan isi rumah, mereka akan buang ke dalam tong sampah. Itu yang kami rasakan yang menyumbang kepada peningkatan kutipan sisa pepejal pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata jamuan bufet Ramadan yang dianjurkan di restoran dan hotel sekitar ibu negara turut menyumbang kepada peningkatan kutipan sisa pepejal tersebut.

Katanya pelbagai inisiatif dan kempen perlu diteruskan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat agar membuat perancangan dalam pembelian makanan bagi mengelakkan pembaziran. 

Terdahulu, Raja Kamal Azizol mengagihkan sumbangan sebanyak 1,000 pek bubur lambuk serta 25 tong bagi mengisi minyak masak terpakai untuk dikitar semula kepada peniaga bazar Ramadan di perkarangan Surau Jumaat Al-Hikmah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin-Jinjang Utara sempena kempen “Love Food Hate Waste”.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan