Persiapan Aidilfitri: Rantau Panjang kembali meriah

26/04/2022 02:26 PM

PASIR MAS, 26 April (Bernama) -- Selepas dua tahun ‘sunyi’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kawasan zon bebas cukai Rantau Panjang di sini, kembali meriah serta menjadi tumpuan orang ramai mencari barangan kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Fasa Peralihan ke Endemik kembali membuka limpahan rezeki kepada peniaga di kawasan tersebut.

Bercakap kepada Bernama, peniaga pakaian Syed Bazlishah Syed Muhammad, 49, berkata perniagaan yang diusahakan sejak empat tahun lepas, kini kembali 'bernyawa' selepas orang ramai mula mengunjungi pekan bermula awal Ramadan.

“Keadaan ketika ini amat berlainan berbanding dua tahun lalu, pandemik COVID-19 benar-benar memberi kesan kepada peniaga hingga menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan wang simpanan untuk membayar gaji pekerja, sewa kedai serta komitmen lain.

“Alhamdulillah tahun ini semuanya berubah berikutan urusan jual beli kembali meningkat, saya mampu memperoleh hasil jualan antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari,” katanya ketika ditemui di premis perniagaanya, hari ini.

Senada dengan pendapat itu, peniaga kuih raya Mariam Abdullah, 40, berkata kehadiran semula orang ramai di pekan itu amat melegakan serta meningkatkan pendapatan peniaga.

"Lega perniagaan kami di sini semakin baik kerana bukan sahaja penduduk tempatan malah orang luar Kelantan sudah ramai datang membeli-belah di sini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai stok barangan jualan, Mariam berkata bekalan barangan jualannya masih mencukupi dan tidak menghadapi masalah untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya dan peniaga lain menzahirkan rasa syukur kerana kerajaan memberi banyak kelonggaran dalam tempoh Fasa Peralihan ke Endemik ini, orang ramai sudah boleh datang ke zon bebas cukai Rantau Panjang, keadaan semakin meriah dan merancakkan perniagaan kami,” katanya.

Seorang pembeli, Mohd Amar Amir Md Noor, 23, berkata zon bebas cukai Rantau Panjang menjadi pilihannya untuk membeli barangan seperti seluar jeans dan baju untuk menyambut hari lebaran.

“Sudah dua tahun saya tidak datang ke sini untuk membeli-belah kerana PKP, tahun ini saya bersemangat untuk membeli barangan kelengkapan Syawal.

“Saya berbelanja awal bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan kerana kemungkinan anak perantau akan mula pulang bermula Jumaat ini dan sudah pasti pekan Rantau Panjang akan bertukar sesak,” katanya yang berasal dari Tanah Merah.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan