ALOR SETAR, 20 Mac (Bernama) -- Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan empat kadar zakat fitrah di negeri itu bagi tahun ini iaitu bermula RM6.50, RM7, RM14 dan RM21.
Pengerusi LZNK Datuk Norizan Khazali berkata penetapan kadar zakat itu dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di Kedah.
“Tahun ini ada pertambahan kategori RM6.50 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada beras jenis super spesial tempatan 10 peratus hancur dan setaraf dengannnya manakala RM7 bagi yang menjadikan makanan hariannya beras super spesial tempatan (lima peratus hancur) dan setaraf dengannya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Norizan berkata penetapan kadar RM14 adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada beras super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya manakala kadar RM21 pula bagi beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya.
Dalam pada itu, Norizan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM12,402,000 bagi tahun ini berbanding kutipan pada 2022 sebanyak RM11,798,924.
Beliau berkata sebanyak 27 saluran bayaran secara dalam talian disediakan bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat itu pada tahun ini.
“Selain itu, LZNK menggalakkan orang ramai bersedekah di seluruh kaunter LZNK dan amil-amil yang telah dilantik disediakan dengan kupon RM5 dan RM50 untuk orang ramai bersedekah.
“Sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan Syawal, LZNK juga melancarkan program sumbangan ayam segar menerusi Program Infak Aidilfitri kepada 3,333 keluarga asnaf dengan dua ekor ayam bagi setiap keluarga asnaf,” katanya.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan