FITRI KEMBALI BERSAMA SPEEDY TIGERS SELEPAS TIGA TAHUN

28/03/2023 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pemain tengah Mohammad Fitri Saari yang kembali menyertai latihan skuad hoki lelaki kebangsaan tidak mahu mensia-siakan peluang kedua itu.

Pemain berusia 30 tahun itu yang teruja dapat kembali berlatih bersama skuad Speedy Tigers mahu memastikan prestasinya pada tahap terbaik untuk terus berada dalam pasukan.

Mohammad Fitri berkata hasratnya adalah untuk beraksi bersama skuad kendalian A. Arul Selvaraj di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan muncul juara di Sukan Asia Hangzhou bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.

“Saya tak nak sia-siakan peluang kedua ini. Saya teruja untuk berlatih semula sebab saya tak nak terlepas kejohanan bersama pasukan kebangsaan kerana impian saya nak ke Olimpik. 

“Sasaran saya adalah pingat emas Sukan Asia kerana kalau melalui pusingan kelayakan, agak susah untuk ke Olimpik,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Mohammad Fitri, yang diketepikan daripada skuad kebangsaan sejak awal 2020, kembali menyertai latihan skuad Speedy Tigers semalam, yang diadakan pada waktu malam ketika Ramadan.

Ia merupakan sesi latihan pertama pasukan kebangsaan selepas saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2023 yang berlangsung dari 9 Feb hingga 18 Mac.

Mohammad Fitri yang juga kapten pasukan Terengganu Hockey Team (THT), kembali disenaraikan dalam senarai pelatih skuad kebangsaan berikutan prestasi cemerlangnya membantu pasukan Pantai Timur itu meraih gelaran treble LHM.

Beliau yang membuat debut bersama skuad senior kebangsaan ketika Trofi Juara-Juara Asia di China pada September 2011, mempunyai 160 penampilan untuk Malaysia di peringkat senior.

Namun, beliau yang kali terakhir beraksi untuk pasukan kebangsaan ketika pusingan Kelayakan Olimpik Tokyo 2020 pada November 2019, tidak dipanggil dalam skuad negara selepas gagal membantu Malaysia layak ke temasya berkenaan.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan