KENDERA SAJI BAZAR RAMADAN TAMPIL DENGAN MENU RAHMAH

28/03/2023 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Konsep Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di ibu negara membawa kelainan tersendiri apabila menyaksikan penyertaan berbagai-bagai perniagaan kendera saji sepanjang Ramadan ini.

BRR itu yang melibatkan lapan kendera saji di Jalan Raja dan 33 di belakang Kompleks Campbell serta di kawasan letak kenderaan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, dengan beroperasi setiap hari dari 4 petang hingga 2 pagi, diuruskan secara bersama oleh Persatuan Usahawan Food Truck Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Persatuan Usahawan Food Truck Masjid India.

Tinjauan Bernama mendapati setiap peniaga di BRR berkenaan perlu menyediakan satu Menu Rahmah yang ditawarkan bermula dari 5 petang hingga 8 malam di samping menu lain pada kadar harga biasa.

Seorang peniaga air balang, Mohd Azam Shamsul Bakri, 24, memutuskan untuk menjual kesemua air balang miliknya pada harga Menu Rahmah iaitu RM5 susulan menerima permintaan yang tinggi daripada pengunjung.

"Harga asalnya adalah RM7 bagi satu gelas plastik bersaiz besar tetapi untuk BRR kali ini, kami jual pada harga RM5. Saiznya kekal sama kerana kami optimis dengan sambutan yang diterima walaupun bukan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya kepada Bernama.

Bagi peniaga serondeng dan biskut raya, Zainon Johan, 56, pula berpendapat penjualan Menu Rahmah memberinya peluang dalam mempromosikan perniagaannya kepada pengunjung di bazar berkenaan.

"Saya tidak pernah menjual Menu Rahmah. Jadi, saya ambil keputusan untuk menjual kira-kira 40 gram serondeng ayam atau daging berserta empat biji ketupat palas pada harga RM5 sebekas dalam tempoh yang ditetapkan.

"Percubaan saya berhasil apabila ramai yang membelinya dan hasil jualan meningkat kepada sekali ganda apabila cuti hujung minggu," katanya yang berpengalaman dalam perniagaan itu selama hampir 30 tahun.

Peniaga Roti John, Mohd Syawal  Mahyuddin, 34, turut serta menawarkan Menu Rahmah bagi menyahut saranan kerajaan selain mahu membantu golongan yang memerlukan.

"Ini adalah pengalaman pertama kami dalam menyediakan Menu Rahmah. Berbeza dengan roti john biasa yang saiznya panjang, kami tampil dengan roti john mini namun masih mengekalkan dua pilihan inti ayam atau daging berserta sos cili, salad, sos lada hitam dan sos keju menggunakan resipi tersendiri,” katanya.

Sementara itu, peniaga makanan segera, Mohd Farhan Abd Hamid, 36, pula berharap pembukaan Bazar Aidilfitri @ Lorong TAR pada 29 Mac ini, dapat menjadi nilai tambah dalam menarik kedatangan ramai pengunjung di kawasan berkenaan.

"Mungkin kerana ini minggu pertama Ramadan, jadi ramai memilih untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumah. Saya percaya BRR ini akan menjadi lebih meriah dalam tempoh dua minggu akan datang," katanya.

Seorang eksekutif, Mohd Annuar Hashim, 59, berpendapat penyediaan Menu Rahmah memberi lebih  pilihan kepada pelanggan untuk membeli juadah selain membantu golongan B40 khususnya yang tinggal di kawasan bandar dalam menanggung kos sara hidup setiap hari.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, semua barangan mengalami peningkatan harga, jadi dengan adanya usaha sebegini ia dapat membantu meringankan beban mereka," katanya.

Turut senada, Saima Ahmad Zaini, 35, menyifatkan Menu Rahmah yang ditawarkan walaupun hanya sekadar kebab atau roti pita, ia sangat berbaloi dan mengenyangkan.

BRR, adalah produk terbaru bawah inisiatif Payung Rahmah, diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini dilaksanakan di 38 lokasi di seluruh negara.

Ia adalah hasil kerjasama peniaga melalui libat urus bersama KPDN dalam menawarkan harga Menu Rahmah sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan