Gerai Menu Rahmah Jadi Pilihan Di Bazar Ramadan Sabah

04/04/2023 06:04 PM

KOTA KINABALU, 4 April (Bernama) -- Gerai yang menawarkan Menu Rahmah menjadi pilihan pengunjung di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di Lintasan Deasoka, di sini.

Bagi peniaga nasi lemak, Rusydih Joseph, 26, jualan menu BRR itu bermula seawal Ramadan lalu mendapat sambutan yang menggalakkan, bagaimanapun, katanya, pelanggan akan berkurangan apabila keadaan cuaca hujan.

"Sebelum menjual dibazar, memang kami menjual dengan harga begini dari kedai (restoran) lagi dan bawa ke sini (bazar) harga yang sama, sekarang ini ada 14 menu di sini termasuk nasi lemak biasa," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, hari ini.

Menu yang dijual digerainya ialah nasi lemak iaitu nasi lemak ayam, ikan, sotong, udang, telur mata dan ikan masin dijual pada harga RM4 dan RM5 bagi nasi lemak hati buya (paru), kerang petai, bilis petai, udang petai, sotong petai dan ayam berempah.

Semalam, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Sabah, Georgie Abas, dilaporkan berkata Lintasan Desoka merupakan antara tiga lokasi BRR menyediakan hidangan pada harga berpatutan di Sabah dengan dua lagi Juara Sport Arena Ketiau, Putatan dan hadapan Sabindo Plaza, Tawau. 

Bagi peniaga kuih, Hariani Letak, 35, pula yang menjual 11 jenis kuih Menu Rahmah, berkata jualannya sentiasa mendapat sambutan dan biasanya akan habis sebelum tiba waktu berbuka puasa.

Beliau, yang telah mula berniaga sejak 2016 di bazar Ramadan setiap tahun, berkata jualan hasil tangannya adalah untuk menjana pendapatan keluarganya.

"Memang dari dulu minat menjual dengan harga berpatutan, semua orang boleh rasa, boleh (beli) kuih campur-campur," kata ibu kepada tiga cahayamata itu.

Penjawat awam, Mohd Nor Hafeez Abd Rahman, 33, yang juga salah seorang pelanggan, amat berpuas hati dengan penyediaan Menu Rahmah di bazar Ramadan itu dikendalikan dengan bersih oleh peniaga.

"Kalau ikut pemerhatian saya secara rawak.....bersih yang paling penting, penyediaan pun kalau tengok memang ikut prosedur yang ditetapkan dan harga yang murah," katanya.

Bagi Adam Ruhimin, 50, pekerja swasta, berpendapat jualan di bazar Ramadan itu akan dapat membantu golongan B40 mendapatkan juadah berbuka puasa.

Beliau berkata penyediaan Menu Rahmah amat bertepatan selain memudahkan golongan berpendapatan rendah membeli pada harga yang berpatutan ketika harga barangan mentah yang lain meningkat.

"Semua (golongan) dapat menikmati juadah di bazar Ramadan. Kita sokong inisiatif ini, lebih banyak menu, lebih banyak juadah untuk berbuka puasa," katanya yang turut membeli tiga bungkus nasi lemak.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan