Young Tigers Buru Emas Di Sukan Sea Kemboja 2023

05/04/2023 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Biarpun memegang status juara 16 kali acara hoki di pentas Sukan SEA, skuad hoki remaja enggan terbuai dengan kejayaan diraih itu, sebaliknya berazam untuk meneruskan legasi itu di Phnom Penh, Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.

Bagi kapten skuad hoki remaja negara Muhamad Faris Harizan berkata biarpun berupaya merealisasikan misi mempertahankan pingat emas, skuad Young Tigers sebaliknya tidak boleh memandang remeh cabaran negara Asia lain pada temasya dwitahunan itu.

Menurut Faris yang bermain di posisi pertahanan, masih banyak “kerja rumah” perlu dilakukan skuad hoki remaja negara sekiranya tidak mahu diaibkan pada Sukan Asia Tenggara di Kemboja itu.

“Tekanan ada seperti biasa, namun kita tidak boleh ambil mudah semua pasukan Asia yang lain. Mereka juga sudah semestinya tidak akan memberikan laluan mudah buat negara.

“Sukan SEA ialah kejohanan kompetitif antarabangsa. Walaupun dikira sebagai medium menimba pengalaman, kami perlu kekal dengan misi mempertahankan pingat emas dimiliki sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Skuad hoki negara merupakan kuasa besar pada temasya Sukan SEA dengan memegang rekod memenangi 16 pingat emas sejak 1971.

Kali terakhir Malaysia meraih emas adalah di Kuala Lumpur 2017, manakala kali pertama meraih warna pingat sama pada 1971, juga ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Faris dalam masa sama berkata skuad remaja boleh menarik nafas lega apabila empat pemain senior negara disahkan turut serta dalam skuad itu sekali gus berupaya memperkukuh cengkaman negara pada temasya itu.

Pada edisi kali ini, kelibat pemain Speedy Tigers; Muhamad Ramadan Rosli (pemain tengah), Muhamad Zaimi Mat Deris (penjaga gol) serta Muhammad Najib Abu Hassan dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar (masing-masing pertahanan) akan turun memperkukuh keampuhan skuad remaja sedia ada.

“Dengan adanya mereka, bagi saya ia dapat membantu pemain remaja dari segi pengetahuan dan pengalaman sebagai bekalan ke Sukan SEA nanti. Kami juga sedang merangka persiapan untuk Kejohanan Dunia Remaja (JWC) pada hujung tahun ini, jadi mereka (senior) boleh membantu,” katanya.

Skuad kendalian Muhammad Amin Rahim itu kini berada di Perth, Australia, bagi mengharungi aksi pemanas badan sebelum menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Kemboja bulan depan serta Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman pada 23 Mei hingga 1 Jun ini.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan