KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) meletakkan sasaran dua emas kepada pesilat negara yang akan bersaing dalam Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja bulan depan.
Presiden Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata pihaknya meletakkan sasaran rendah pada temasya sukan dwitahunan itu memandangkan 75 peratus daripada keseluruhan 22 pesilat negara yang dipertaruh kali ini adalah muka baharu.
Beliau berkata pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik berhubung acara yang mempunyai peluang cerah untuk menjelmakan pingat emas buat negara di Kemboja memandangkan kesemua pesilat tidak kira yang lama mahupun baharu berpotensi melakar pencapaian membanggakan buat Malaysia.
“Saya lebih bersikap terbuka semua atlet ada peluang untuk menyumbang kerana tak mahu atlet muda ini terbeban, kalau dulu ada Mohd Al-Jufferi Jamari mesti dia sumbang emas.
“Bagaimanapun, saya tak mahu beri tekanan kepada atlet muda kerana mereka belum biasa tapi saya percaya mereka mampu apatah lagi pasukan kita sekarang ini dikendalikan bekas pesilat negara seperti Mohd Fauzi Khalid dan Siti Rahmah Mohamed Nasir,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Ramadan dan Sumbangan Aidilfitri Pesaka di sini hari ini.
Megat Zulkarnain juga berkata Pesaka mengambil langkah berhati-hati dalam menetapkan sasaran pingat selepas mengambil iktibar daripada pengalaman pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam yang menyaksikan mereka hanya membawa pulang dua emas berbanding tiga disasarkan.
“Di Vietnam, ada beberapa insiden tidak dijangka seperti Mohd Al-Jufferi kalah di peringkat separuh akhir kerana kecederaan dan kita hilang satu emas, jadi kita ambil kira pengalaman dan berhati-hati dalam umumkan sasaran,” katanya.
Kem silat negara dijangka menyertai 17 daripada keseluruhan 22 acara yang dipertanding di Pusat Konvensyen Chroy Changvar pada Sukan SEA kali ini.
Sukan SEA 2023 akan dibuka secara rasmi pada 5 Mei ini dan berakhir pada 17 Mei.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan