Jumlah Anggota Jsjn Dan Jsjk Perlu Ditambah - Kpn

14/03/2024 08:21 PM

JOHOR BAHRU, 14 Mac (Bernama) -- Jumlah anggota bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) perlu ditambah bagi memperkasakan dan memperkuat operasi jabatan berkenaan dalam membanteras isu jenayah global dan rentas sempadan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kedua-dua jabatan itu mempunyai keanggotaan yang kecil dengan JSJK sebanyak 2,100 pegawai dan anggota, manakala JSJN pula tidak lebih 5,000 pegawai dan anggota di seluruh negara.

“Kalau kita tengok pembahagian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia menyatakan (nisbah) 300 pegawai polis kepada 100,000 penduduk, maksudnya satu polis nisbah 333 penduduk. Sekarang ini, di Malaysia lebih kurang ada 32 juta penduduk dan kira-kira 130,000 ialah polis, bermakna nisbah kita bagi satu polis bersamaan dengan 275 penduduk.

“Jadi, kita masih dalam lingkungan PBB. Kalau hendak diperbesarkan (pegawai dan anggota) adalah di JSJK dan JSJN kerana buat masa ini, isu jenayah global seperti jenayah siber atau scammer (penipuan) berlaku secara global dan bukan di Malaysia sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penerimaan Rasmi Police Strike Craft Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Pasukan Polis Marin (PPM) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Johor CP M Kumar dan Komander PPM SAC Norzaid Mohamad Said.

Razarudin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai isu kekurangan pegawai dan anggota pada masa ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kawalan sempadan ketika bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri, Razarudin berkata kawalan sempadan sentiasa dilaksanakan dan diperkukuh bagi memastikan ia tidak diceroboh mana-mana pihak.

Terdahulu, Razarudin ketika berucap dalam program itu berkata PPM menerima empat bot RHAB yang antaranya dilengkapi dengan senjata api berat bagi meningkatkan kemampuan PDRM dalam mengawal sempadan negara.

Beliau berkata PDRM secara keseluruhan telah menerima 10 bot RHAB dengan nilai keseluruhan RM32.8 juta dan enam daripadanya diterima pada November tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan