Peniaga Diminta Jangan Naikkan Harga Air Minuman Botol - Persatuan Pengguna Sabah

15/03/2024 05:03 PM

KOTA KINABALU, 15 Mac (Bernama) -- Peniaga dan peruncit di Papar diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga air  minuman botol berikutan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk yang menghadapi cuaca panas dan kemarau di daerah itu ketika ini.

Presiden Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani berkata penduduk dilihat membeli air minuman botol dalam kuantiti banyak sebagai alternatif memastikan aktiviti harian dapat dijalankan seperti biasa termasuk untuk memasak, mencuci dan beribadah lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini.

“Jangan ambil kesempatan atas kesusahan semua terutama dalam keadaan krisis bekalan air ketika ini. Jangan fikir selaku peniaga tetapi perlu fikir peruncit juga adalah pengguna yang memerlukan air. Sekiranya stok (air minuman botol) masih ada, jangan sorok,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama di sekitar Papar semalam mendapati terdapat penduduk terpaksa membelanjakan kira-kira RM80 seminggu untuk membeli bekalan air minuman botol bagi kegunaan harian keluarga berikutan ketiadaan bekalan air di kawasan mereka.

Disamping itu, ada juga kedai serbaneka mendedahkan jualan air minuman botol di Papar laris sehingga boleh mencecah 80 hingga 100 karton sehari.

Nordin berkata pihak berkuasa perlu membuat pemantauan bagi memastikan tiada peniaga dan peruncit mengambil kesempatan menaikkan harga air botol minuman sekali gus membanteras sebarang tindakan seumpamanya.

“Walaupun setakat ini belum ada laporan daripada pengguna mengenai kenaikan harga air botol minuman di pasaran, tetapi pemantauan perlu dilakukan supaya keadaan terkawal dan harga barang itu tidak tinggi sehingga membimbangkan pengguna. 

“Selain itu, bekalan air minuman botol ini juga mesti dipastikan mencukupi di pasaran,” katanya.

Beliau berkata penyaluran bekalan air menerusi tangki-tangki air daripada pihak terlibat antaranya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu terus diperhebat terutama di kawasan terjejas teruk.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah David Chan berharap  JANS dapat menyediakan bekalan air bersih yang mencukupi dalam tangki simpanan untuk kegunaan penduduk Papar dalam tempoh ini.

Beliau juga meminta agar pemantauan harian dilakukan bagi memastikan bekalan air mencukupi di kawasan terjeas selain tidak menangguhkan atau melengahkan proses penghantaran bekalan air kepada penduduk terjejas.

Mengulas langkah penduduk Papar membeli air botol minuman sebagai alternatif dalam mendepani masalah bekalan air, Chan turut menggesa peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang itu sehingga menyusahkan penduduk.

Dalam pada itu, Kerajaan Sabah juga diminta menghantar bekalan air minuman kepada penduduk di kawasan terjejas yang tidak mendapat air bersih terutama sepanjang Ramadan ini, katanya.

Pada Rabu, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam satu kenyataan mengisytiharkan Papar, terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melanda kawasan tersebut.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan