LUMUT, 18 Mac (Bernama) -- Tiada kenaikan harga bagi tambang feri, penginapan dan perkhidmatan lain di Marina Island tahun ini biarpun terdapat kenaikan pada kadar cukai perkhidmatan daripada enam kepada lapan peratus bermula 1 Mac lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Marina Island Ding Mei Looi berkata syarikat itu akan menyerap segala peningkatan kos operasinya bagi menarik lebih ramai pengunjung serta menggalakkan rakyat melancong di dalam negara, selain merancakkan Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024).
Ding berkata pulau buatan itu menerima kira-kira 800,000 hingga 1 juta pengunjung setahun bagi menikmati semua perkhidmatan disediakan.
“Bagi suku pertama tahun ini terdapat peningkatan susulan kempen Tahun Melawat Perak dan kita menjangkakan ia akan terus rancak sehingga hujung tahun,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Buffet Ramadan Marina Island Pangkor Resort and Hotel di sini.
Bagi memberikan perkhidmatan terbaik, pihaknya telah bekerjasama dengan 60 pemandu pelancong bagi memastikan pelancong mendapat pengalaman menakjubkan ketika melawat Pulau Pangkor dan sekitarnya.
Bercakap mengenai bufet Ramadan, keistimewaan tahun ini ialah hidangan siakap gergasi seberat empat hingga enam kilogram yang dibakar setiap hari bersama kira-kira 100 hidangan lain yang menjadi tarikan di Terumbu Cafe yang dapat memuatkan 250 hingga 300 tetamu pada satu-satu masa.
Bufet bertemakan Nostalgia Ramadan itu dijual pada harga RM86 untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak bermula 16 Mac hingga 7 April ini, di samping menjamu selera hadiah menarik cabutan bertuah menanti tetamu yang berkunjung setiap hari.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan