Malaysia Kecewa Majlis Keselamatan Pbb Gagal Buat Resolusi Gencatan Senjata

24/03/2024 03:55 PM

REMBAU, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia kecewa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi gagal membuat resolusi gencatan senjata dalam konflik Palestin-Israel, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata usaha itu adalah percubaan kesembilan dilakukan Majlis Keselamatan PBB dalam tempoh dua bulan bagi membebaskan rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka. 

"Resolusi dicadangkan Amerika Syarikat (AS) tidak dipersetujui oleh Rusia dan China kerana terdapat beberapa perkara tidak menyentuh secara menyeluruh. Amerika Syarikat menggunakan kesempatan ini untuk menggelar Hamas sebagai pengganas.

"Malaysia tidak bersetuju Hamas digelar sebagai pengganas dan resolusi itu juga tidak menyebut bahawa rakyat Palestin dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka sebaliknya menyebut bahawa tebusan daripada Hamas perlu dikembalikan kepada Israel," katanya kepada pemberita.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan kepada penerima bantuan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Siliau di Masjid Kariah Kampung Siliau di sini hari ini.

Mohamad berkata Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan sidang tergempar untuk mencapai kata sepakat bagi isu tersebut.

Menurutnya Malaysia membawa suara tegas dan menyeru supaya pembunuhan terhadap wanita dan kanak-kanak khususnya dihentikan serta-merta.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan