KOTA KINABALU, 26 Mac (Bernama) -- Mangsa kebakaran di Kampung Muhibbah, Likas di sini menzahirkan rasa syukur apabila menerima sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.
Lebih manis sumbangan itu disampaikan sendiri oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni pada majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Likas di sini hari ini yang turut dihadiri Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Edy Zaffrel Ikhwan Parlis, 33, berkata bantuan itu dapat meringankan beban perbelanjaan dapur lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
Bapa kepada enam cahaya mata berusia16 bulan hingga 10 tahun itu berkata ketika kejadian, dia tidak sempat menyelamatkan harta benda dan persiapan awal hari raya turut musnah.
"Semua baju sekolah anak terbakar dan kali ini saya sekeluarga rasa macam mana beraya tanpa rumah, sebelum ini rumah jiran pun pernah terbakar pada 2018," katanya ketika ditemui Bernama di Dewan Serbaguna Likas di sini hari ini.
Bagi penjawat awam Edy Zaffrel Ikhwan yang mengambil cuti bencana berkata dia terpaksa mencari tempat berteduh sementara.
Pada Ahad lepas, sebanyak 10 buah rumah di Kampung Muhibbah Likas musnah terbakar manakala 10 di Kampung Laut Bongawan turut terbakar pada 4 Mac.
Kusnah Kadis, 57, berkata sumbangan itu meringankan beban 15 ahli keluarganya yang turut kehilangan harta benda malah sebahagian rumahnya yang baharu diubah suai turut dijilat api.
"Kami cuma sempat bawa lari dokumen dan kereta sahaja, tak sangka api sampai ke tempat kami kerana kedudukan rumah kami yang paling akhir," katanya yang bercadang kembali ke rumahnya memandangkan hanya sebahagian rumahnya yang terbakar.
Firdaus Ayong, 30, berbesar hati dengan sumbangan itu kerana dia tidak sempat menyelamatkan barang yang ada dalam rumah sewa yang baharu didudukinya sejak lapan bulan lepas.
Sementara itu Pengerusi YNJ Datuk Al Hambra Tun Juhar berkata seramai 44 ketua isi rumah (KIR) telah menerima bantuan YNJ iaitu di Bongawan dan Kampung Muhibbah, Likas, masing-masing 29 KIR dan 15 KIR.
Beliau berkata dengan sumbangan daripada YNJ itu diharap dapat meringankan beban yang terpaksa di tanggung mangsa.
"Saya pasti Jabatan Bomba dan Penyelamat antara agensi yang amat sibuk pada masa ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menjalankan aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran," katanya.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan