Penerimaan Resolusi Unsc Mengenai Gaza Saksi Pendirian Majoriti Masyarakat Dunia

26/03/2024 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Penerimaan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2728 (2024) mengenai Gaza yang disepakati semalam menyaksikan sikap serta pendirian majoriti masyarakat dunia yang menginginkan keadilan ditegakkan dan kezaliman dihentikan terhadap penduduk Palestin.

Sehubungan itu, Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berharap keselamatan warga Gaza menjadi kewajipan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selepas resolusi itu diterima dan penghantaran tentera pengaman wajar dipertimbangkan.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata akses dan bantuan kemanusiaan merangkumi bantuan makanan dan air bersih, serta kelengkapan peralatan dan keperluan perubatan perlu segera disampaikan kepada jutaan warga Gaza yang memerlukan.

“Warga global tidak lagi sanggup melihat pertumpahan darah berlaku di depan mata setiap hari. Selain itu, tindakan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis yang secara jelas mencabul undang-undang antarabangsa dan prinsip asas kemanusiaan mesti dikenakan hukuman setimpal. Para pimpinan rejim harus diheret ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya tampuk pimpinan negara diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyuarakan pendirian konsisten berhubung isu Palestin di pentas antarabangsa.

Majlis Keselamatan PBB pada Isnin menerima satu resolusi meminta satu gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza untuk bulan Ramadan dilaksanakan.  Sebanyak 14 negara mengundi menyokong resolusi itu yang dibentangkan oleh 10 ahli majlis berkenaan yang dipilih, sementara Amerika Syarikat berkecuali daripada mengundi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan