Kongsi Rezeki, Peniaga Tawar Lemang Rahmah Rm7 Sebatang

09/04/2024 12:15 PM

MELAKA, 9 April (Bernama) -- Niat berkongsi rezeki terutama kepada golongan kurang berkemampuan, seorang peniaga lemang di Limbongan di sini menjual juadah popular ketika Aidilfitri itu pada harga RM7 sebatang.

Samsudin Ishak, 42, yang berniaga sejak 20 tahun lepas berkata inisiatif Lemang Rahmah pertama kali dilakukannya itu menyasarkan jualan 500 batang lemang selama tiga hari bermula semalam.

"Lemang Rahmah yang dijual ini anggaran 18 inci panjang dan berdiameter sekitar 1.5 inci, berpatutan dengan harga ditawarkan berbanding lemang biasa sehingga ada yang mencecah lebih RM20 sebatang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya meskipun tidak meraih keuntungan yang besar, namun dia berpuas hati dapat membantu  meringankan beban kewangan pembeli.

Samsudin yang bekerja sebagai pemandu lori berkata dia akan berniaga lemang bermula pertengahan Ramadan hingga akhir Syawal dengan kira-kira 8,000 batang lemang dijual setiap tahun.

Katanya dia juga menerima tempahan lemang di luar musim perayaan sekiranya terdapat permintaan.

"Lemang yang saya jual akan dibuka di depan pembeli bagi memeriksa kualitinya seperti tidak keras atau tidak masak…kalau terjadi perkara itu, kita akan tukar dengan yang lain," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan