Oleh Sakini Mohd Said
KUANTAN, 11 April (Bernama) -- Belum pun melebihi lima jam selepas solat sunat Hari Raya Aidilfitri, media sosial di semua platform hari ini ‘meriah’, dengan pelbagai gaya umat Islam meraikan perayaan tersebut bersama keluarga mahupun rakan, selepas sebulan menjalani ibadah Ramadan.
Tampil menyerlah dengan rona serta fesyen baju mengikut trend terkini khususnya anak muda, majoritinya tidak ketinggalan untuk memuat naik gambar mereka dalam pelbagai gaya atau di lokasi unik, bagi mendapatkan peragaan hari ini atau ootd yang menarik pada Syawal kali ini.
Menariknya, tidak sekadar penampilan mereka menggayakan pelbagai aksesori barangan kemas, seperti gelang mahupun subang untuk golongan hawa, sementara si lelaki dengan tanjak serta sampin, akan tetapi kaca mata hitam dalam pelbagai bentuk yang digayakan, turut mencuri pandangan.
Ada yang menggayakannya dengan kaca hitam berbingkai besar berbentuk separa bulat mahupun empat segi, ada pula yang tampil dengan kaca hitam sporty dan menurut seorang usahawan aksesori Noor Halieza Zainuddin, produk itu antara paling laris jualannya untuk digayakan pada Aidilfitri.
Mengusahakan perniagaan tersebut bersama rakannya Fatin Elina Omar, 33, secara separuh masa di Pasor Dinda, anak ketiga daripada tiga beradik ini berkata selain kaca mata hitam, mereka juga turut menjual berbagai jenis gelang, dekorasi rumah, namun permintaan kaca mata begitu menggalakkan berbanding barangan lain.
“Musim panas ketika ini, ramai yang cari kaca mata hitam untuk lindungi mata daripada terkena silau cahaya matahari, tetapi sebenarnya ia juga menjadi aksesori tambahan yang boleh menambahkan lagi kecantikan dan ketampanan seseorang itu.
“Kaca mata hitam ini diibaratkan pelengkap gaya, apatah lagi di hari raya. Orang kata, kalau diri dihiasi dengan pelbagai aksesori lain tetapi tidak ada kaca mata hitam, ia seolah-olah kurang lengkap penampilan mereka, khususnya semasa bergambar,” katanya kepada Bernama.
Menjual pelbagai jenis dan bentuk kaca mata hitam sehingga ada stail yang tidak pernah dilihat pun di pasaran, turut menghiasi perniagaan mereka, wanita kelahiran Selangor ini berkata permintaan produk itu ketika ini lebih cenderung kepada trend cermin rona cerah, warna bingkai lebih berani dan striking.
Untuk Aidilfitri kali ini, golongan hawa dikenal pasti lebih teruja untuk mendapatkan koleksi kaca mata berbentuk mata kucing retro atau cat-eye, manakala lelaki pula majoritinya memilih untuk menggayakan kaca mata hitam trend y2k iaitu berbentuk oval.
“Kami dapati, perempuan lebih menyukai trend vintaj, 60-an dan kerana itu bentuk cat-eye paling tinggi jualannya, berbanding yang lain seperti stail aviator, bingkai besar, kaca mata bersudut mahupun kaca mata mikro. Untuk bingkai cat-eye, mereka lebih menyukai motif harimau bintang atau leopard.
“Selain bingkai motif leopard, ada juga yang menyukai rona merah, putih atau hijau terang bagi tampil kelainan di hari raya. Lelaki pula lebih menyukai trend y2k yang sebelum ini hit pemakaiannya semasa lewat 90-an dan awal 20-an, kerana nampak mereka lebih sporty dan tampan,” katanya.
Biarpun pemakaian kaca mata hitam ini sebagai pelengkap gaya di hari raya, namun Fatin Elina berkata ia juga perlu mengikut kesesuaian dan bentuk wajah seseorang itu, supaya penampilan mereka tidak rosak pada hari istimewa ini hanya semata-mata kerana ingin mengikut trend.
Disebabkan itu, gerainya menjual pelbagai jenis, saiz, bentuk bagi sesuatu model serta turut memberikan nasihat kepada pelanggan, stail mana yang sesuai dengan bentuk wajah mereka sebelum membelinya dan kerana itu, perniagaannya terus menjadi tumpuan pelanggan setia.
“Kami yang menganjurkan Pasor Dinda, berniaga di sini sejak 2021 dan syukur dapat bertahan sehingga ke hari ini. Untuk pastikan sesuatu model itu sesuai dengan bentuk muka pelanggan atau sebaliknya, kami akan menyediakan pelbagai variasi kaca mata.
“Contoh seperti cat-eye, ada yang dikhususkan sesuai untuk bingkai yang kecil, sementara ada pula yang sesuai dengan yang besar, bergantung kepada bentuk wajah. Kami dapati juga trend video parodi lagu hari raya seperti ‘Alamak Raya Lagi’, antara faktor ramai yang mencari kaca mata hitam cat eye,” katanya.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan