Kotak Hitam Helikopter Mendarat Cemas Di Pulau Angsa Dihantar Ke Itali Untuk Analisis

29/04/2024 05:52 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Kotak hitam helikopter AW139 (M72-01) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan pendaratan cemas di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor bulan lepas sudah dihantar kepada syarikat pengeluar di Itali untuk dianalisis.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia susulan pihaknya telah menemui beberapa kerosakan terhadap kotak hitam berkenaan dan beranggapan lebih selamat sekiranya kerja-kerja analisis kotak hitam itu dilakukan oleh syarikat pengeluar untuk mengetahui punca kejadian.

"Maklumat daripada analisis kotak hitam itu kemudian akan diberikan kepada jawatankuasa siasatan untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga APMM di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pemangku Ketua Pengarah APMM Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Helikopter yang membawa empat kru iaitu Leftenan Komander Maritim Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim; melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa, Kuala Selangor dalam kejadian pada 5 Mac lepas.

Sementara itu mengulas insiden anggota APMM tercedera akibat ditembak ketika cuba menahan sebuah bot enjin sangkut untuk pemeriksaan di Lahad Datu, Sabah pada 7 April lepas, Saifuddin berkata Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, masih menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

"Kita masih menunggu laporan penuh daripada doktor yang merawat beliau berhubung kecederaan berkenaan dan Kementerian Dalam Negeri akan memberikan bantuan sewajarnya bagi menjaga kebajikan anggota dan keluarganya sepanjang beliau menerima rawatan," katanya

Dalam kejadian itu, dua anggota APMM cedera dalam insiden berbalas tembakan di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut, Kampung Pangi Kunak, Lahad Datu, ketika cuba menahan sebuah bot enjin sangkut untuk pemeriksaan Op Khas Pagar Laut.

Mengulas mengenai Op Khas Pagar Laut yang dilancarkan sempena Ramadan dan Syawal lepas pula, Saifuddin Nasution berkata APMM menahan 175 individu atas pelbagai kesalahan jenayah dan merampas barangan bernilai RM15 juta.

"Tangkapan dan rampasan ini melihatkan pentingnya APMM melakukan operasi khas bagi menjaga dan mengawasi perairan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan