Kpkm Beri Jaminan Bekalan Makanan Asas Mencukupi Sepanjang Syawal

16/04/2024 07:41 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Bekalan makanan asas dijamin mencukupi sepanjang Syawal ini selari dengan keupayaan pengeluaran domestik komoditi makanan utama negara oleh petani, pesawah, peladang, penternak serta nelayan pada Ramadan dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bekalan komoditi makanan yang terhad pengeluaran domestiknya pula ditampung melalui pengimportan bekalan makanan untuk keperluan pengguna di pasaran.

Menurut KPKM penggunaan bekalan makanan asas dalam kuantiti yang besar diperlukan sepanjang Syawal memandangkan tradisi mengadakan rumah terbuka menjadi kelaziman bagi rakyat Malaysia.

“Perhatian diberikan kepada lapan komoditi makanan utama yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) iaitu beras, ayam, telur, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan susu segar bagi memastikan bekalannya mencukupi,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan kebolehcapaian komoditi makanan utama berkenaan juga akan disokong oleh outlet pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), selain pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.

Dalam masa sama, KPKM turut menggalakkan amalan penggunaan bekalan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan pembaziran makanan khususnya dalam tempoh penganjuran rumah terbuka sepanjang Syawal.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan