Tiktok Shop Rai Ulang Tahun Kedua Dengan Pencapaian Dan Tawaran Menarik

27/05/2024 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- TikTok Shop meraikan sambutan ulang tahun keduanya dengan penuh gemilang bermula dengan kempen “TikTok Shop 6.6 Countdown” sebelum ditamatkan dengan “TikTok Shop 6.6 Birthday Fiesta” dari 13 Mei lepas hingga 2 Jun ini. 

Ketua Komunikasi Pemasaran TikTok Shop Malaysia Nur Aisya Rosly berkata sambutan selama tiga minggu itu menggabungkan hiburan dan keseronokan membeli-belah yang menjanjikan pengguna dengan tawaran penghantaran percuma harian, baucer eksklusif dan penampilan jenama tingkat tinggi setiap hujung minggu.

“Sambutan ulang tahun TikTok kedua ini mengukuhkan komitmen kami untuk memperkasakan perniagaan tempatan dan memupuk komuniti yang sangat mendukung.

"Kami berharap dapat meneruskan perjalanan dan pertumbuhan yang inovasi ini dengan memberi lebih banyak peluang kepada penjual serta pembeli di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Melihat kepada pertumbuhan platform e-dagang itu pada tahun lepas, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa TikTok Shop telah meningkatkan sokongannya dengan menaikkan subsidi dan komisen sifar peratus bagi pembelian tertentu di Sidang Kemuncak TikTok Shop 2023.

Selain itu, kempen jualan “TikTok's 11.11” menyaksikan peningkatan jualan hampir 100 peratus, dengan  "TikTok Shop 11.11 Mega Live Showdown” telah melonjakkan jualan pencipta kandungan hingga 587 peratus.

“Pencipta kandungan Khairul Aming menempa nama dalam Malaysia Book of Records bagi jualan RM1 juta terpantas ketika penstriman langsung. 

“Kerjasama antara kami (TikTok Shop) dengan MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) menerusi pertandingan strim langsung selama dua bulan juga telah berjaya meningkatkan jualan dengan ketara bagi 70 usahawan tempatan dan menjadikan mereka semakin dikenali,” menurut kenyataan itu.

Platform e-dagang itu dalam kenyataannya turut berkongsi kisah kejayaan usahawan e-dagang terkenal, Moncherilive dan Uncle Siang.

Moncherilive atau Tiffany mencipta kejayaan tersendiri dalam pasaran fesyen dengan menjual pakaian Muslimah moden dan bergaya yang mampu milik di platform itu sejak 2022.

Selepas bertahun-tahun berkerja keras walaupun berdepan halangan dan kekangan kewangan, Tiffany meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Pencipta Kandungan Prestasi Terbaik semasa Sidang Kemuncak TikTok Shop 2023 dan Pencipta Kandungan Dua Terbaik di Bazar Ramadan Raya 2024. 

Dalam pada itu, Uncle Siang atau Tang Siew Siang dikatakan telah memperoleh pengikut setia dengan menghasilkan video demonstrasi yang menarik, berkongsi petua dan fungsi produk sejak hampir dua tahun lepas.

“Walaupun menghadapi kemerosotan jualan seketika, ketabahan Uncle Siang membuahkan hasil dengan akaunnya pulih dan mencapai kejayaan konsisten.

"Kesungguhanya membuahkan hasil mengagumkan menjadikan beliau diiktiraf di tempat kedua bagi Pencipta Kandungan Terbaik 2023,” menurut kenyataan itu.

--BERNAMA

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan