Al-Quran gergasi tarikan di Ekspo Jualan al-Quran
MELAKA, 25 Mac (Bernama) -- Al-Quran bersaiz 'gergasi' dengan berat lebih 7.5 kilogram menjadi antara tarikan utama di Ekspo Jualan Al-Quran sempena Jualan Pra-Ramadan yang bermula hari ini.
Pengarah Korporat Nasyrul Quran dan Yayasan Restu Nurashikin Abdul Latif berkata ekspo selama lapan hari di Hotel Muzaffar, di sini itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai melihat proses pencetakan al-Quran di samping meluaskan pengetahuan mengenai bagaimana kitab suci itu dihasilkan.
"Ini adalah julung kalinya kami mengadakan pameran luar dari Yayasan Restu dan al-Quran bersaiz besar itu dibawa khas untuk tatapan pengunjung di Melaka memandangkan negeri ini adalah lokasi pertama kami mempamerkan keunikan al-Quran yang dihasilkan.
"Lebih menarik, pengunjung boleh menyalin sendiri ayat al-Quran berdasarkan teknik yang kita buat melalui buku khas yang dijual," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Pelancaran Ekspo Jualan Al-Quran sempena Jualan Pra-Ramadan hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin.
Katanya, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai jenis tulisan, reka bentuk dan saiz al-Quran termasuk terjemahan yang dilakukan dalam tujuh bahasa termasuk bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Jawi, Mandarin, Kazakhstan dan Kemboja.
"Pengunjung turut berpeluang membeli al-Quran dengan harga istimewa, yang bermula serendah RM20 manakala saiz besar pada harga RM450, yang sesuai digunakan di masjid atau surau," katanya.
Sementara itu, Kalsom berkata ekspo tersebut mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan usahawan wanita di Melaka yang sebelum ini terjejas akibat pelbagai sebab termasuk COVID-19 dan banjir.
"Selain pameran al-Quran, terdapat 18 gerai yang turut serta menjual pelbagai produk. Walaupun produk mereka tidak besar, ia masih mampu memberi impak untuk mereka bangkit terutama menjelang Ramadan ini," katanya.
Tambah Kalsom, pihaknya juga bercadang mengadakan satu ekspo pada Ramadan ini sebagai antara usaha mencari dan mengumpul semula usahawan wanita yang terjejas.
"Seperti yang kita tengok pada bazar Ramadan yang lepas terutama di Peringgit, daripada 300 gerai jualan, lebih 20 peratus adalah peniaga dan usahawan wanita.
"Dengan adanya usaha sebegini termasuk kolaborasi dengan syarikat besar, kita boleh membantu wanita agar tidak terlalu bergantung kepada kewangan suami atau keluarga. Mereka perlu ada dompet (kewangan) sendiri," katanya.
-- BERNAMA