MUSIM DUA PROGRAM MASAK APA CHEF? KEMBALI DENGAN ENAM CHEF TAMPIL MASAKAN ENAK UNTUK BERBUKA PUASA

29/03/2023 10:22 AM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Program masakan Malaysia, Masak Apa Chef? - kembali untuk musim kedua, membawa enam chef Malaysia bagi memeriahkan Ramadan dengan mempersembahkan kepada orang ramai pelbagai cara menyediakan masakan enak untuk berbuka puasa.

Penerbit rancangan itu Estilo Media dalam kenyataan hari ini berkata program itu menampilkan chef Malaysia dari pelbagai latar belakang dan budaya di atas pentas masakan “Truly Malaysia” dengan kerjasama AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) dan Midea Scott and English Electronics Sdn Bhd.

Mereka terdiri daripada Chef Hasmadi dari Everly Hotel, Chef Muze (Cili Kampung Restaurant), Chef Arieni (Gula Cakery), Chef Jia Le Woh (@jialewoh_cookingversion), Chef Dave (chefdave_veganjourney) and Chef BangMan (aimansalim_).

“Semasa kaum keluarga menyambut musim perayaan dengan meriah, kami sentiasa mendoakan kebahagiaan, rahmat dan kesejahteraan.

Masak Apa Chef? tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik, dan bagi menyokong inisiatif ini AEON BiG dan Midea Malaysia bermurah hati menyumbang bantuan makanan serta peralatan elektrik bagi menyokong hampir 300 keluarga dalam kalangan komuniti orang Asli,” menurut kenyataan itu.

Sumbangan disampaikan kepada dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Play Unlimited dan Epic Homes.

Play Unlimited ialah pertubuhan sosial yang dibangungkan dengan tujuan memudahkan pembinaan komuniti dan memupuk kesejahteraan di Hutan Hujan Royal Belum secara keseluruhan, manakala Epic Homes ialah pergerakan yang membina rumah untuk keluarga Orang Asli sebagai platform untuk merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Pengarah Urusan AEON BiG Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata selain sumbangan kepada komuniti Orang Asli, program Chef Masak Apa? juga menyumbang kepada penonton dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu Pengurus Besar Midea Scott and English Electronics Sdn Bhd Mark Tam berkata rancangan memasak adalah platform terbaik untuk mempamerkan peralatan dapur kerana penonton boleh melihat sendiri bagaimana produk itu digunakan suasana dapur sebenar.

Musim kedua Masak Apa Chef? merupakan rancangan masakan dihasilkan sepenuhnya di Malaysia yang membawa penonton meninjau pelbagai budaya dan masakan berbeza yang ditawarkan dalam negara, dan ia akan disiarkan pada April 2023.

Musim ini, rancangan itu merakamkan dua episod secara langsung di AEON BiG Wangsa Maju.

Objektif utama rancangan ini adalah untuk mempamerkan dan mempromosikan dua elemen, iaitu kepelbagaian budaya dan masakan yang ditawarkan oleh Malaysia, serta bakat Chef Malaysia, pendekatan unik mereka untuk memasak masakan tempatan dan inspirasi mereka daripada kepelbagaian warisan dan adat resam di Malaysia.

-- BERNAMA