Kebanyakan Negara Arab Mula Berpuasa Pada Isnin
ANKARA, 11 Mac (Bernama-Anadolu) -- Kebanyakan negara Arab menyambut hari pertama bulan suci Ramadan pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.
Selepas anak bulan kelihatan pada Ahad, pihak berkuasa agama di Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan Ramadan akan disambut pada Isnin.
Demikian juga umat Islam di Mesir, Bahrain, Lubnan, Palestin, Iraq dan Sudan akan mula berpuasa pada Isnin.
Bagaimanapun, di Jordan, Oman, Libya, Morocco dan Iran, Ramadan bermula pada Selasa selepas anak bulan tidak kelihatan pada Ahad.
Di Turkiye, Direktorat Hal Ehwal Agama menentukan permulaan Ramadan dan Aidilfitri berdasarkan anak bulan kelihatan di mana-mana sahaja di dunia (ihtilaf-i metali) dan bukan sekadar dilihat dalam negara itu.
-- BERNAMA-ANADOLU