Alam Flora Galak Penggunaan Semula Bekas Makanan

22/03/2024 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri ke bazar Ramadan mampu mengelakkan pembuangan sampah dan pembelian secara berlebihan sehingga boleh mengakibatkan pembaziran serta peningkatan jumlah sisa pepejal di tapak pelupusan.

Bagi membantu orang ramai berbuat demikian, anak syarikat Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) iaitu Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) hari ini mengagihkan 1,500 pek bubur lambuk dalam bekas boleh guna semula dan diedarkan kepada orang ramai di Pusat Kitar Semula Pandu Laju AEON Wangsa Maju di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Adam Saffian Ghazali berkata ia merupakan usaha kecil syarikat itu sebagai pencetus kepada anjakan tabiat membeli-belah yang lebih lestari dan positif terhadap alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan beg plastik secara total.

"Jika secara purata anda menggunakan tiga beg plastik ketika membeli makanan selama sebulan di bulan Ramadan dan jika anda menggantikannya dengan bekas makanan, anda telah mengurangkan sebanyak 90 beg plastik dan pek polisterin daripada ia dibuang ke tapak pelupusan,” katanya kepada pemberita selepas program Kongsi Rezeki Bubur Lambuk 2024 di Wangsa Maju hari ini. 

Hadir sama untuk mengagihkan bubur lambuk dan 100 beg guna semula ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Adam Saffian juga menyeru agar peniaga tidak melakukan pembaziran dengan menderma makanan tidak habis dijual kepada rumah kebajikan atau golongan yang memerlukan.

Beliau turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa khidmat kutipan sampah dan pembersihan akan berjalan seperti biasa semasa perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Alam Flora memohon kerjasama orang ramai agar menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan bersesuaian boleh diambil.

Alam Flora adalah antara syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam di Malaysia yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan di kawasan tengah dan pantai timur Semenanjung meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

-- BERNAMA