Rmhc Malaysia Berkongsi Rezeki Dengan Anak-anak Yatim Sempena Ramadan Tahun Ini

04/04/2024 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) meneruskan inisiatif tahunannya berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim, sempena bulan Ramadan tahun ini.

Menurut kenyataan RMHC Malaysia, kira-kira 100 anak yatim daripada dua rumah kebajikan kanak-kanak di Kuala Lumpur termasuk Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu diraikan dalam majlis berbuka puasa.

"...majlis berbuka puasa itu di Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM), Cheras, pada 29 Mac dan Rumah Kebajikan Baitul Ehsan Al-Khairi di Rumah Ronald McDonald yang terletak dalam pekarangan Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak Kanak Kuala Lumpur) pada 23 Mac lalu," menurut kenyataan tersebut hari ini.

Presiden RMHC Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata mereka tidak pernah melepaskan peluang untuk menyantuni anak-anak yatim melalui majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan di bulan Ramadan kerana berpeluang memperoleh pahala berlipat ganda melalui ibadah dan amal kebaikan.

"...RMHC Malaysia sentiasa meluaskan inisiatif kemasyarakatannya melalui banyak lagi program lain yang boleh memberi manfaat kepada kesejahteraan kanak-kanak," katanya.

Kedua-dua rumah kebajikan menerima sumbangan wang tunai RM3,000 daripada RMHC Malaysia untuk menampung keperluan harian anak-anak yatim sepanjang bulan puasa dan persiapan menjelang Aidilfitri.

Majlis di Rumah Ronald McDonald HCTM-UKM turut mendapat kerjasama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak yang menyediakan agihan 1,000 pek bubur lambuk kepada para petugas kesihatan dan ahli keluarga pesakit yang tinggal di situ sementara anak-anak yatim menerima kelengkapan sekolah, Pek Kembali ke Sekolah.

-- BERNAMA